SEORANG ahli delegasi Olimpik Uganda disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Jepun, sebulan sebelum pertandingan itu bermula, kata pegawai.
Delegasi pertama yang tiba dari Uganda itu terdiri daripada sembilan orang termasuklah peninju, jurulatih dan pegawai mendarat di Lapangan Terbang Narita di Tokyo, pada Sabtu.
Mereka adalah delegasi kedua yang tiba selepas pasukan bola lisut wanita Australia pada 1 Jun lalu.
Tetapi, salah seorang ahli delegasi negara Afrika itu disahkan positif ketika saringan di lapangan terbang, kata pegawai kerajaan kepada wartawan. Individu itu diuji dua kali tetapi situasi kesihatannya tidak didedahkan, lapor media tempatan.
“Saya dengar individu itu sudah diasingkan mengikut peraturan,” kata pegawai perhubungan Sukan Olimpik Tokyo 2020 Hidemasa Nakamura kepada wartawan yang turut mengulangi janji yang saringan ketat akan terus dijalankan bagi mengelak penularan wabak.
Stesyen penyiaran NHK melaporkan yang delegasi itu sudah divaksin dan diuji negatif di Uganda sebelum datang ke Jepun.
Pasukan itu pada awalnya dijadualkan tiba di Jepun pada 16 Jun, tetapi penerbangan mereka dibatalkan susulan peningkatan kes Covid-19 di Uganda, lapor media tempatan.
Ahli lain pasukan itu sudah meninggalkan lapangan terbang menuju ke Osaka, tempat mereka akan berlatih sebelum Olimpik bermula.
Ini adalah kes positif pertama melibatkan ketibaan delegasi Olimpik dari luar negara, kata media tempatan lagi.
Minggu lepas, penganjur mengeluarkan garis panduan pencegahan wabak kepada atlit dalam usaha memastikan penularan tidak berlalu walaupun pandemic Covid-19 masih tidak dapat dikawal sepenuhnya.
Penganjur juga berkata mesyuarat akan diadakan pada Isnin ini untuk membincangkan jumlah penonton tempatan yang dibenarkan menontot pertandingan secara langsung, ada laporan menyebut had penonton akan ditetapkan pada 10,000 orang sahaja.
Nippon Television melaporkan yang penganjur bercadang menetapkan had penonton termasuk tetamu dan pegawai seramai 20,000 orang pada upacara pembukaan dijadualkan pada 23 Julai depan.
Peminat luar negara sudah dilarang menghadiri temasya sukan yang tertangguh sejak tahun lepas itu. – AFP, 20 Jun, 2021.
Komen