PARTI pembangkang Sarawak mungkin tidak mendapat bantuan daripada rakan parti di Semenanjung jika pilihan raya negeri (PRN) diadakan ketika pandemik Covid-19.
Ini kerana mereka terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan ketat yang mengekang pergerakan parti pembangkang dari Semenanjung untuk berkempen.
PRN Sarawak boleh diadakan bila-bila masa susulan keputusan sidang khas Raja-Raja Melayu yang bersepakat tidak melanjutkan perintah darurat selepas 1 Ogos.
Susulan keputusan itu, parti seperti DAP, PKR dan Amanah kini meneliti semula strategi untuk menggerakkan sumber mereka.
Dalam pilihan raya sebelum ini, ahli parti mereka dari Semenanjung tampil untuk membantu kempen parti pembangkang di Sarawak.
Larangan petugas kempen dari luar Sarawak mungkin menjadi salah satu peraturan untuk memastikan pilihan raya diadakan dengan selamat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Abdul Karim Hamzah kepada The Malaysian Insight.
“Jika pandemik berjaya ditangani, darurat tidak akan dilanjutkan selepas 1 Ogos. Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara automatik akan berlaku pada 1 Ogos dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari,” kata timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.
Sarawak kini merekodkan purata 500 kes sehari dengan angka kematian purata sehingga lapan orang sehari.
DUN Sarawak dibubarkan secara automatik pada 6 Jun lalu tetapi disebabkan perintah darurat dan DUN di seluruh negara digantung, pembubaran ditangguhkan sehingga perintah itu ditarik semula.
Ketua PKR Bandar Kuching Dominique Ng berkata SOP kemasukan ke Sarawak perlu ditarik semula untuk pilihan raya walaupun masih berdepan pandemik.
“Ia petanda tidak bagus dan tidak adil jika SOP dikekalkan,” kata Ng.
Beliau bagaimanapun menjangkakan SOP kemasukan ke negeri itu tidak akan berubah.
“SOP tidak wajar digunakan untuk kepentingan politik.”
Freedy Misi yang disebut sebagai calon untuk Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata beliau tidak pasti jika kerajaan negeri boleh memastikan tiada petugas kempen dari luar.
Tetapi secara logik dan profesional katanya mereka perlu dilarang daripada terlibat dalam PRN.
“Ahli politik dari Semenanjung tidak perlu campur tangan dalam PRN ke-12 ini,” katanya. – 20 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen