180,066 vaksin disuntik semalam


Kerajaan menetapkan sasaran suntikan vaksin 200,000 dos sehari menjelang Julai ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2021.

SELEPAS tiga hari berturut-turut sasaran suntikan dos vaksin sebanyak 200,000 sehari dicapai, hanya 180,066 dos disuntik semalam.

Jumlah itu meningkatkan angka rakyat yang sudah divaksin kepada 5.51 juta orang, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi satu infografik yang dikongsi di Twitter.

Kerajaan menetapkan sasaran suntikan vaksin 200,000 dos sehari menjelang Julai dan ia berjaya dicapai pada 15 Jun lalu. Dua hari kemudian juga menyaksikan sasaran berjaya dicapai dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Daripada 180,066 dos disuntik semalam, 147,616 adalah dos pertama dan 32,450 adalah dos kedua.

Manakala, daripada 5.51 juta orang yang sudah divaksin, JKJAV berkata 3.95 juta orang atau 12.1% menerima dos pertama.

JKJAV bagaimanapun tidak memberikan peratusan rakyat yang sudah menerima dua dos vaksin, tetapi daripada angka 1.55 juta orang yang menerima dua dos, ia bersamaan dengan 4.7% populasi yang sudah divaksin penuh. 

Semalam, Kuala Lumpur mendaftarkan suntikan vaksin tertinggi dengan 813,804 dos diikuti Selangor (809,285) dan Sarawak dengan 688,027 suntikan. – 19 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen