MENTERI hal ehwal Parlimen Takiyuddin Hassan disiasat atas dakwaan melakukan hasutan dan mempersenda Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.
Katanya, polis menyiasat kerana terdapat aduan dibuat ke atas menteri di jabatan perdana menteri itu, katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
“Sesiapa yang lakukan hasutan atau timbulkan perasaan kurang senang, bila ada aduan atau laporan yang diterima, polis akan siasat.
“Tiada darjat mengenai hal itu, semua yang ada laporan kita panggil untuk siasatan,” katanya seperti dipetik dalam laporan berkenaan.
Laporan ke atas Takiyuddin dibuat Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa kenyataan Takiyuddin mempersenda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
Aduan dibuat ke atas kenyataan Takiyuddin yang menyebut, Agong tidak memperincikan tarikh untuk Parlimen bersidang walau menegaskan persidangan perlu dibuat secepat mungkin.
Ia dinyatakan menteri PAS tersebut dalam satu program bual bicara bersama organ parti berkenaan, Harakah pada Khamis.
Menurut Pemuda PH, kenyataan tersebut merupakan satu penderhakaan dan perbuatan mempersenda baginda.
Takiyuddin menyebut demikian bagi mempertahankan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Parlimen akan bersidang semula pada September atau Oktober.
Muhyiddin menyebut perkara itu selepas Istana Negara pada 16 Jun menyatakan, baginda menitahkan agar sidang Parlimen diadakan semula secepat mungkin.
Pengumuman itu menimbulkan kritikan banyak pihak yang antara lain melihat Muhyiddin melakukan penderhakaan kerana masih terus menghalang sidang Parlimen diadakan segera.
Kenyataan Takiyuddin dikaitkan dengan Perkara 55 dalam perlembagaan yang menetapkan perdana menteri bertanggungjawab untuk menasihati baginda dalam melaksana persidangan Parlimen.
Peruntukan itu meliputi kuasa memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.
Namun peguam terkemuka seperti Azam Aziz berpendapat, baginda sudahpun mempunyai kuasa mutlak ke atas perkara itu memandangkan undang-undang darurat masih berkuat kuasa.
Disebabkan darurat masih berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021, maka kuasa untuk memanggil sidang Parlimen termaktub di bawah Seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat 2021.
Maka, Agong berkuasa mutlak untuk bertindak secara bersendirian tanpa memerlukan nasihat perdana menteri dan memanggil Parlimen bersidang seberapa segera sebelum 1 Ogos, katanya.
Peruntukan Perkara 55 itu hanya akan berkuat kuasa semula selepas perintah darurat berakhir pada 1 Ogos, katanya dalam kenyataan di Facebook. – 18 Jun, 2021.
Komen