MENGHUKUM masyarakat Rohingya hanya akan membuatkan mereka mengelak dari membuat ujian saringan dan vaksinasi, kata Kumpulan Penasihat Malaysia Mengenai Myanmar.
Mereka berkata pendekatan keras yang diterapkan kerajaan hanya akan mendorong pelarian dan pendatang asing tanpa izin untuk bersembunyi dari divaksinasi, yang mana ianya sangat penting bagi membendung penularan dalam masyarakat.
“Walaupun ada kebimbangan diutarakan oleh pelbagai kumpulan masyarakat sivil, malah ahli politik, namun pihak berkuasa sebaliknya terus mempertingkatkan pendekatan keras mereka.
“Langkah menghukum ini akan melemahkan usaha untuk mengekang penularan Covid-19, sekali gus membahayakan rakyat Malaysia,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan itu mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud terhadap pelarian yang mereka yakin akan membahayakan rakyat Malaysia dan akan menghalang dari pemulihan pandemik Covid-19.
Mereka bimbang dengan cadangan Hamzah untuk mendirikan kem pelarian Rohingya sebagai cara menguruskan populasi mereka di negara ini.
“Langkah seperti ini akan menjadi langkah terkebelakang. Sebilangan besar 179,570 pelarian di Malaysia adalah pelarian bandar, yang memungkinkan mereka untuk hidup bermaruah, normal serta menyumbang kepada masyarakat Malaysia.
“Membina kem tidak sekadar meningkatkan trauma dan kebergantungan, tetapi juga akan menggunakan sumber dana awam yang besar dan memisahkan terus pelarian dari masyarakat.”
Kumpulan itu memetik Khairul yang berkata, sudah ada hampir 2,000 Rohingya dalam tahanan, kebanyakannya kanak-kanak.
“Kita perlu bekerjasama untuk mencari alternatif kepada penahanan pelarian, terutama kanak-kanak yang tidak membuat apa-apa jenayah malah terpaksa menerima hukuman dan kehidupan mereka lebih berisiko jika dihantar pulang ke negara asal mereka.
“Ini juga sangat membimbangkan bila mana pelarian yang mencari tempat berlindung, dihantar pulang dengan bot dan ini mendedahkan mereka kepada penyeludupan manusia dan semestinya kematian.” – 18 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen