Kes baharu Covid-19 kembali lebih 6,000


Angka harian jangkitan Covid-19 kembali naik melebihi 6,000, dengan 6,440 kes baharu dilaporkan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021.

ANGKA harian jangkitan Covid-19 kembali naik melebihi 6,000, dengan 6,440 kes baharu dilaporkan hari ini, kata Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan sebanyak 685,204 kes dilaporkan sejak negara dilanda pandemik awal tahun lalu.

Selangor kekal mendahului dengan 2,095 kes, diikuti Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing 870 dan 816 kes.

Sabah pula mencatat 199 kes, diikuti Johor (592), Sarawak (536), Kelantan (200), Pulau Pinang (122), Perak (357), Kedah (159), Melaka (223), Pahang (79), Terengganu (32), Labuan (152) dan Putrajaya (6). 

Perlis yang semalam merekodkan sifar kes jangkitan Covid-19 hari ini melaporkan dua kes.

Kali terakhir kes baharu melebihi angka 6,000 pada 11 Jun lalu, dengan 6,849 kes dilaporkan.

Terdahulu hari ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter hari ini memaklumkan sebanyak 221,706 dos vaksin Covid-19 diberi semalam, jumlah tertinggi direkodkan setakat ini.

Ia sekali gus mencapai sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 200,000 dos sehari.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 5.33 juta setakat semalam.

Seramai 1.52 juta individu sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, sementara 3.81 juta atau 11.7% penduduk menerima satu dos, kata JKJAV. – 18 Jun, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen