Tambah bekalan vaksin Covid-19 Selangor segera, gesa Adun Bukit Gasing


Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran menggesa Putrajaya tidak berlengah lagi menambah bekalan vaksin Covid-19 untuk penduduk Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Jun, 2021.

PUTRAJAYA perlu berhenti memberi alasan dan usah berlengah menambah bekalan vaksin Covid-19 untuk Selangor, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin juga silap berkenaan jumlah vaksin yang diperlukan di negeri itu, tambahnya.

Rajiv berkata Khairy tidak patut beri alasan bahawa pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor tidak dapat menampung penghantaran dos yang lebih besar.

“Semua pusat pemberian vaksin di seluruh negara beliau yang buka, termasuk di Selangor. Alasan bahawa PPV di Selangor tidak mampu menampung jumlah dos vaksin yang banyak bermakna itu adalah kesilapan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Alasan itu tidak boleh diberi kerana Khairy sudah tentu maklum dengan jumlah penduduk di Selangor yang besar, jelasnya.

“Semua data boleh diperolehi melalui MySejahtera,” katanya, menambah PPV sepatutnya membuat perancangan rapi berdasarkan maklumat tersebut.

Adun DAP itu juga mempersoalkan apakah Khairy dapat memberi jaminan Malaysia akan menerima jutaan lagi bekalan vaksin Covid-19 pada bulan ini dan Julai.

Katanya, walaupun terdapat 750 klinik swasta mendaftar untuk terlibat dalam program vaksinasi di Selangor, hanya enam yang diluluskan setakat semalam.

Susulan itu, Rajiv menggesa Khairy segera meluluskan kesemua 750 klinik terbabit supaya lebih banyak dos vaksin dapat diberi kepada penduduk Selangor.

“Apabila 750 klinik ini diberi kelulusan, sudah pasti lebih banyak lagi mahu melibatkan diri.”

Terdapat 30 PPV di sekitar Selangor, menurut laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

Selasa lalu, Khairy berkata sebanyak 43,000 dos vaksin diberi sehari di Selangor, dan kerajaan mensasarkan kepada 135,000 dos sehari pada Julai. – 18 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen