HARGA siling untuk ujian Covid-19 di kemudahan penjagaan kesihatan swasta hanya untuk makmal swasta, jelas presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia hari ini.
Dr Kuljit Singh berkata, orang ramai perlu membayar lebih selepas hospital swasta mengambil kira kos makmal dan kos lain.
Menurutnya, harga siling yang diwartakan pada 17 Mei di bawah Ordinan Darurat 2021 tidak termasuk kos penghantaran sampel, keputusan penelusuran dan kos alat perlindungan diri untuk kakitangan hospital.
“Persatuan Hospital Swasta Malaysia ingin menekankan bahawa harga siling ini adalah kos untuk caj makmal dan tidak termasuk bayaran mendapatkan sampel, kos alat perlindungan diri PPE dan yuran perundingan dengan pegawai perubatan.
“Ini disahkan melalui surat daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) bertarikh 1 Jun 2021 kepada semua makmal swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Semenanjung, harga siling untuk ujian saringan tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) adalah RM150, RM60 untuk ujian antigen RTK dan RM50 untuk ujian antibody RTK.
Di Sabah dan Sarawak, harga siling untuk RT-PCR adalah RM200, RM80 untuk RTK antigen dan RM70 (RTK-antibodi).
Kuljit berkata hospital swasta akan menunjukkan caj ujian Covid-19 yang merangkumi caj makmal dan kos lain untuk orang ramai pilih dan putuskan, dan ia berbeza di setiap hospital berdasarkan perkhidmatan dan lokasi geografi.
“Namun, ia akan ditetapkan serendah yang mungkin untuk menampung jumlah kos,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Selasa, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata harga ujian Covid-19 dihadkan untuk memastikan ia tetap berpatutan. – 18 Jun, 2021.
Komen