Petugas kesihatan Indonesia dijangkiti Covid-19 walaupun disuntik vaksin


WHO meluluskan penggunaan vaksin Sinovac selepas berpuas hati ia dapat menghalang simptom jangkitan Covid-19 sehingga 51% selain menghalang jangkitan teruk. – Gambar AFP, 17 Jun, 2021.

LEBIH 350 doktor dan petugas kesihatan di Kudus, Indonesia dijangkiti Covid-19 walaupun sudah disuntik vaksin jenis Sinovac, lapor Reuters.

Kebanyakan mereka tidak menunjukkan simptom jangkitan dan menjalani kuarantin di rumah, kata Badai Ismoyo, ketua pejabat kesihatan di daerah di Jawa Tengah itu.

Berpuluh-puluh daripada mereka juga dimasukkan ke ke hospital kerana demam panas dan mengalami kesukaran bernafas, kata laporan itu.

Kudus dilaporkan berhadapan penularan Covid-19 daripada varian Delta, iaitu yang varian yang berasal dari India dan sudah diberi nama baharu. Kadar penggunaan katil di hospital juga sudah melebihi 90%.

Petugas kesihatan adalah antara kumpulan pertama yang disuntik vaksin apabila program vaksinasi di Indonesia bermula pada Januari lalu.

Kebanyakan mereka diberikan suntikan vaksin jenis Sinovac, kata Persatuan Perubatan Indonesia.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan vaksin jenis Sinovac selepas berpuas hati ia dapat menghalang simptom jangkitan sehingga 51% selain menghalang jangkitan Covid-19 yang parah.

Jumlah jangkitan Covid-19 di Indonesia meningkat selepas cuti Hari Raya Aidilfitri dengan kes baharu direkodkan sehingga 10,000, yang tertinggi sejak hujung Februari. — Agensi


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen