MALAYSIA melaporkan 5,738 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing merekodkan lebih 1,000 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini 678,764.
Selangor merekodkan kes baharu paling tinggi iaitu 1,858 diikuti Negeri Sembilan 1,086 kes.
Ia peningkatan terlalu mendadak untuk Negeri Sembilan yang mencatatkan 607 kes baharu semalam.
Negeri lain melaporkan kes baharu dengan angka tiga digit ialah Kuala Lumpur (641), Sarawak (559), Johor (449), Sabah (248), Kedah (197), Melaka (184) dan Kelantan (154).
Negeri lain yang turut melaporkan kes baharu termasuk Pulau Pinang (97), Perak (30), Pahang (54), Terengganu (77), Labuan (97) dan Putrajaya (7).
Perlis satu-satunya negeri yang tidak melaporkan kes jangkitan baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 204,839 dos vaksin diagihkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan semalam.
Seramai 1.47 juta individu sudah menerima imunisasi penuh dua dos sementara 3.63 juta atau 11.1% populasi sudah menerima satu dos vaksin. – 17 Jun, 2021.
Komen