Perancis tarik balik arahan wajib pakai pelitup muka


Perancis semalam umum menarik balik arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan perintah berkurung waktu malam. – Gambar EPA, 17 Jun, 2021.

PERANCIS semalam umum menarik balik arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan perintah berkurung waktu malam, susulan negara itu mencatat penurunan drastik kes harian Covid-19.

Perdana Menteri Jean Castex berkata orang ramai tidak lagi wajib memakai pelitup muka mulai hari ini, manakala perintah berkurung pada waktu malam akan ditarik semula bermula Ahad, 10 hari lebih awal daripada yang dirancang.

Perintah berkurung itu dikuatkuasakan sejak 30 Oktober tahun lalu.

“Situasi di negara ini semakin baik, lebih cepat daripada jangkaan,” kata Castex pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet semalam.

Orang ramai bagaimanapun disaran memakai pelitup muka di kawasan sesak seperti stadium dan semasa menggunakan pengangkutan awam, tambahnya.

Perancis mencatat lebih 3,200 kes harian Covid-19 pada Selasa, angka terendah pernah direkodkan sejak Ogos 2020, malah melepasi sasaran 5,000 kes yang ditetapkan Presiden Emmanuel Macron hujung tahun lalu.

Negara itu kini sedang giat memastikan seramai mungkin rakyatnya menerima suntikan vaksin Covid-19.

Castex berkata kerajaan mensasarkan seramai 35 juta orang lengkap menerima dua dos vaksin pada akhir musim panas. Setakat ini, seramai 16.5 juta penduduk Perancis lengkap divaksin. – AFP, 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen