Kapasiti ICU beroperasi lebih 100% membimbangkan, kata KP Kesihatan


Dr Noor Hisham berkata kemasukan kes ke ICU telah menunjukkan peningkatan antara 25 April dan 1 Mei dengan 23 Mei dan 29 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2021.

UNIT rawatan rapi (ICU) di hospital di seluruh negara yang beroperasi dengan kapasiti lebih dari 100% membimbangkan pihak berkuasa kesihatan kerana tidak ada ruang lagi untuk pesakit yang memerlukan rawatan kritikal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kemasukan kes ke ICU telah menunjukkan peningkatan antara 25 April dan 1 Mei dengan 23 Mei dan 29 Mei.

“Trend yang sama dilihat terus berlanjutan terutamanya untuk dua minggu kemudian dari 6 hingga 12 Jun di mana jumlah penggunaan katil di ICU telah melebihi 100%.”

Hari ini, kadar penghunian di ICU terus meningkat, dengan 924 pesakit dimasukkan ke wad pada tengah hari dengan 423 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata pihak berkuasa kesihatan telah mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan kapasiti katil bagi menampung pesakit Covid-19.

Katanya, terdapat peningkatan sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di pusat kuarantin dan rawatan.

“Terdapat juga naik taraf katil (katil yang digunakan semula) di wad biasa untuk merawat pesakit kritikal.

“Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan pelbagai hospital lain bagi menggunakan kemudahan mereka untuk merawat pesakit Covid-19.”

Tambahnya, pihak berkuasa kesihatan juga bekerjasama dengan tentera untuk mendirikan enam hospital medan.

“Terdapat juga kerjasama dengan 112 hospital swasta, terutama di Lembah Klang untuk rawatan pesakit Covid-19, melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU.”

Dr Noor Hisham berkata, walaupun ada penurunan kes harian sepanjang perintah kawalan pergerakan penuh sejak 1 Jun, namun masih belum ada penurunan kemasukan ke ICU.

“Ini disebabkan munculnya varian baharu yang mengakibatkan kes-kes dikesan dengan gejala serius (Kategori 4 dan 5) dan kesihatan pesakit merosot pada kadar yang lebih cepat.

“Keadaan ini menyebabkan lebih banyak pesakit memerlukan oksigen dan pernafasan, terutama di kalangan kumpulan rentan seperti warga emas dan pesakit dengan penyakit lain (komorbiditi).”

Beliau juga berkata pesakit dengan gejala teruk, dan mereka yang memerlukan masa pemulihan yang lebih lama juga menyebabkan kekurangan katil di ICU.

“Rata-rata, tempoh rawatan di ICU untuk pesakit Kategori 4 antara 14 hari dan 16 hari, sementara untuk pesakit Kategori 5, tempoh rawatan di ICU antara 19 dan 26 hari.”

Terdapat lima kategori jangkitan Covid-19: pertama adalah kes positif tanpa gejala, kedua adalah kes positif dengan gejala ringan, tiga adalah kes positif dengan radang paru-paru, empat adalah kes radang paru-paru yang memerlukan oksigen dan lima untuk kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen