PELAN Pemulihan Negara mengecewakan kerana tidak ada langkah-langkah pemulihan ekonomi, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tricia Yeoh berkata pemulihan ekonomi patut diberi keutamaan, kerana pelan empat fasa itu menunjukkan semua sektor ekonomi hanya akan dibuka sepenuhnya Oktober nanti.
“Jika ekonomi dijangka dibuka sepenuhnya pada Oktober, kita bercakap tentang tiga bulan masalah ekonomi untuk keadaan ekonomi yang sedang lemah,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelan pemulihan itu berkata, semua sektor ekonomi akan dibuka semula di bawah Fasa 4, yang beliau harapkan bermula selepas Oktober. Ini bergantung pada indikator seperti kes harian Covid-19 bawah 500 dan sekurangnya 60% penduduk lengkap divaksinasi.
Muhyiddin juga berkata Parlimen yang kini digantung kerana darurat akan dibuka semula pada September atau Oktober.
Yeoh berkata, kerajaan perlu jelaskan kenapa Parlimen hanya dibenarkan bersidang pada waktu itu.
“Pelan pemulihan juga gagal menunjukkan bagaimana kerajaan merancang untuk mencapai pelan empat fasa itu, sedangkan indikator yang digunakan tidak mencukupi.
“Jumlah kes harian sepatutnya jadi purata tujuh hari kes baharu memandangkan jumlah kes hanya mencerminkan jumlah ujian yang dibuat setiap hari.
“Malah, indikator lain juga perlu dipertimbangkan seperti kadar positiviti (peratusan ujian positif daripada jumlah ujian yang dibuat),” kata Yeoh, menambah, kadar positiviti Malaysia ketika ini sekitar 7%, lebih tinggi berbanding sasaran 5% dicadangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menggunakan ketersediaan katil unit rawatan rapi (ICU) sebagai indikator juga memerlukan lebih banyak penjelasan tentang apa maksudnya “paras sederhana” dan “paras mencukupi” supaya negara dapat bergerak ke fasa seterusnya.
Mengulangi seruan agar ujian saringan besar-besaran dibuat bagi mendapatkan gambaran tepat kadar jangkitan, Yeoh berkata ia juga perlu disertakan langkah-langkah bersasar kerana pandemik mungkin akan berlanjutan beberapa tahun lagi. – 16 Jun, 2021.
Komen