SELANGOR akan meneruskan fasa ketiga saringan percuma Covid-19 untuk warganya, kata Menteri Besar Amirudin Shari, yang akan bertumpu di lokasi utama jangkitan dan kawasan perindustrian.
Fasa pertama saringan sebelum ini dibuat di kawasan jangkitan utama di seluruh negeri sementara fasa kedua mensasarkan orang awam di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Amirudin berkata saringan fasa ketiga dimulakan di kawasan yang sebelum ini dikesan mempunyai lebih 5% kadar jangkitan.
“Ujian saringan Covid-19 Fasa 3 akan dilaksanakan secara percuma untuk warga Selangor bermula di DUN yang mencatatkan peratusan positif lebih 5% semasa saringan fasa 2 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Amirudin turut memaparkan poster yang menunjukkan tiga daerah tumpuan iaitu Petaling, Gombak, dan Hulu Langat, yang melibatkan lapan kawasan DUN.
Saringan akan dibuat pada dua hujung minggu, pada 19 dan 20 Jun serta 26 dan 27 haribulan berikutnya.
“Selain ujian saringan, ‘Home Assessment Kit’ juga akan dibekalkan untuk kes-kes positif Covid-19 bagi tempoh kuarantin di rumah,” tambah Amirudin.
Data Jabatan Kesihatan Selangor menunjukkan daerah Petaling merekodkan hampir 8,000 kes dalam tempoh 14 hari antara 2 hingga 15 Jun, sementara Gombak 5,664 kes dan Hulu Langat 4,009 kes.
Amirudin turut menasihati warga Selangor di daerah terlibat untuk mendaftar di aplikasi SELangkah untuk menyertai program saringan percuma itu. – 16 Jun, 2021.
Komen