Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 200,000


Pegawai kesihatan Thailand mengumpulkan sampel ujian sapuan hidung Covid-19 penduduk di sekitar pasar jalanan tempatan di Bangkok, Thailand. – Gambar EPA, 10 Jun, 2021.

KES Covid-19 di Thailand sudah melepasi angka 200,000 dengan 3,000 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes sebanyak 202,264 setakat ini. 

Pada masa sama, Thailand mencatatkan 19 lagi kematian menyaksikan keseluruhan korban seramai 1,485 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu, 2,995 membabitkan jangkitan tempatan merangkumi 640 banduan manakala lima lagi ialah kes import.

Katanya, korban terbaru itu melibatkan 11 lelaki dan lapan wanita berusia antara 32 hingga 92 tahun termasuk 11 di Bangkok, tiga di Samut Prakan, dua di Saraburi dan masing-masing satu di Nakhon Si Thammarat, Prachin Buri dan Yala.

Sejumlah 38,061 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 1,249 dalam keadaan kritikal dan 365 lagi memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan. 

“Kluster baharu yang melibatkan kem pekerja binaan yang dikesan di daerah Noi di Bangkok. Sehingga kini, ada sebanyak 85 kluster di enam daerah di Bangkok,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Sementara itu, wakil jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata program vaksinasi Covid-19 negara ini berjalan mengikut perancangan.

Walaupun terdapat beberapa janji temu suntikan vaksin ditunda terutamanya di bandar raya Bangkok, beliau berkata lebih 6.5 juta penduduk di Thailand telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi bermula 28 Februari lalu.

“Sejak kempen vaksinasi dilancarkan pada 7 Jun, sebanyak 2.4 juta orang sudah menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini memberi jaminan bahawa bekalan vaksin adalah mencukupi untuk rakyat Thailand.

Namun, beliau memohon maaf atas isu yang timbul dan kerajaan akan terus berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan sasaran 50 juta rakyat menerima vaksin masing-masing menjelang akhir tahun ini tercapai. – Bernama, 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen