PERANCANGAN reka bentuk yang kurang dan pembinaan yang salah menyebabkan ibu pejabat baharu bernilai RM650 juta untuk Projek Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) tidak dapat digunakan apabila bangunan itu belum menerima kelulusan beroperasi, The Malaysian Insight difahamkan.
Menurut sumber, KL ATCC belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) yang memaksa Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menangguhkan tarikh pelancarannya pada 17 Jun.
“CCC ditunda kerana ada masalah yang berkaitan dengan sistem pemadam kebakaran bangunan,” kata sumber yang mengetahui projek berkenaan.
Kelewatan itu akan mempengaruhi kawalan lalu lintas udara untuk pergerakan pesawat komersial di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang antarabangsa terbesar dan utama di negara ini dengan tiga landasan.
The Malaysian Insight sudah menghubungi CAAM tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas.
The Malaysian Insight juga melawat bangunan baharu berkenaan di Sepang pada Ahad lepas dan mendapati tidak ada sesiapa di lokasi termasuk ketiadaan pegawai keselamatan di pintu depan.
Pereka pada mulanya memasang alat penyiram air untuk ruang operasi seluas 2,000 meter persegi tetapi ia perlu dihentikan selepas pegawai CAAM berkata ia berpotensi merosakkan alat bernilai ratusan juta ringgit jika penyiram itu dimatikan secara tidak sengaja.
“Oleh itu, pihak berkuasa tidak dapat mengeluarkan CCC untuk bangunan tersebut,” kata sumber berkenaan.
Ia bukan satu-satunya masalah yang dihadapi bangunan baharu berkenaan yang mula dibina pada tahun 2017.
“Reka bentuk asalnya termasuk bahan kalis bunyi yang mencukupi digunakan untuk bumbung dek logam, tetapi ketika pembinaan dibuat, kontraktor menyedari bahawa struktur itu tidak dapat menampung berat bumbung dan perubahan sudah dibuat, menyebabkan kalis bunyi untuk bilik operasi terganggu.
“Bilik operasi tidak mempunyai tiang, jadi kesalahan seperti ini memaksa kontraktor mencari jalan alternatif untuk menjadikan bilik berkenaan kalis bunyi.
“Kalis bunyi untuk bilik operasi sangat penting kerana setiap kali hujan, bunyi hujan di bumbung logam dapat menganggu pengawal lalu lintas udara yang akan bekerja sepanjang waktu, yang perlu menumpukan perhatian untuk mengawal ribuan penerbangan yang beroperasi di ruang udara Malaysia setiap hari. Lebih-lebih lagi, kawasan KLIA kerap kali dilanda ribut petir,” katanya.
Pada 6 Jun, CAAM mengumumkan bahawa ATCC KL tidak akan memulakan operasi di Sepang dengan menyatakan wabak Covid-19 sebagai alasan mereka.
“Susulan peningkatan kes yang membimbangkan, CAAM mengambil pendekatan menunda pelancaran operasi bagi menyokong usaha kerajaan membendung pandemik Covid-19.
“CAAM sangat percaya bahawa penjadualan semula perpindahan besar-besaran pusat operasi diperlukan ketika negara ini berada dalam sekatan pergerakan penuh. Ini adalah demi kepentingan keselamatan awam dan semua pengawal lalu lintas udara yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun pengumuman CAAM tidak menyatakan tarikh pelancaran baru kemudahan berkenaan.
Setelah beroperasi, KL ATCC akan menangani 108 pergerakan pesawat per jam dengan menggunakan maksimum tiga landasan KLIA secara serentak.
Projek yang dimulakan di bawah pemerintahan Barisan Nasional akan mula beroperasi pada 2019 dan akan menggantikan operasi di Subang yang sudah beroperasi sejak 1995.
Kompleks ini bertujuan untuk menempatkan operasi kawalan lalu lintas udara untuk Wilayah Maklumat Penerbangan Kuala Lumpur dan pusat koordinasi untuk sistem pencarian serta keselamatan CAAM.
KL ATCC yang baharu juga akan menjadi pusat pentadbiran dan pejabat pengurusan operasi yang dilengkapi kemudahan seperti teater, dewan serbaguna dan ruang untuk keselesaan pengendali lalu lintas udara. – 16 Jun, 2021.
Komen