P Pinang tambah PPV untuk capai imuniti kelompok, kata ketua menteri


3 PPV awam dengan kapasiti 3,000 dos vaksin akan membantu negeri itu mencapai imuniti kelompok, kata Chow Kon Yeow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

PULAU PINANG menambah pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mencapai imuniti kelompok, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata tiga kategori PPV awam iaitu di Balai Rakyat Bayan Baru, daerah Barat Daya dengan kapasiti 800 dos sehari mula beroperasi 22 Jun manakala Pusat Konvesyen Perda dengan 1,000 dos sehari dalam daerah Seberang Perai Utara dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap dengan 1,200 dos sehari dalam daerah Seberang Perai Selatan akan dibuka kelak.

“Sehingga hari ini, sebanyak tujuh PPV awam telah beroperasi termasuk di empat hospital awam khas kepada golongan komorbid menjadikan keseluruhan suntikan harian adalah berjumlah 8,500 dos di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil usahasama kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Universiti Sains Malaysia (USM), dua PPV komuniti juga bakal dibuka membabitkan kampus induk USM di Batu Uban dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, di Bertam dengan jumlah kapasiti 1,400 dos sehari.

Selain itu, bagi petugas barisan hadapan sektor ekonomi, Chow berkata PPV di Bukit Jawi Golf Resort akan dibuka esok dan di Hotel Equatorial pula pada 28 Jun ini, dengan jumlah kapasiti 2,500 dos sehari. 

Sementara itu, beliau berkata bagi cadangan pelaksanaan PPV di lapangan yang membabitkan tiga syarikat multinasional dengan kapasiti 4,000 dos sehari, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas lanjut daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata setakat semalam, data daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan jumlah pendaftaran kumulatif program vaksinasi kebangsaan Pulau Pinang mencatat 900,073 orang dengan kumulatif pemberian vaksin dos pertama 162,007 penerima dan 79,844 penerima dos kedua. – Bernama, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen