Tiada ruang kerjasama dengan Najib, tegas Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir berkata walaupun mereka pernah berkawan namun kehancuran dilakukan Najib semasa jadi perdana menteri terlalu besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2021.

BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertegas tidak akan bekerjasama dengan Najib Razak yang disifatkannya telah menyebabkan kehancuran besar kepada negara, kerajaan dan Umno.

Dr Mahathir berkata walaupun mereka pernah berkawan namun kehancuran yang dilakukan oleh Najib semasa jadi perdana menteri terlalu besar.

“Saya minta maaf tak boleh kerjasama dengan orang semacam ini. Dia kawan saya, yang naikkan Najib saya juga, tapi apa dia buat merosakkan negara, parti, kerajaan, dan jadikan nama kita busuk sebegitu rupa,” kata bekas perdana menteri.

Dr Mahathir berkata demikian ketika wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan di media sosial petang tadi.

“Najib punya kesalahan terlalu besar. Dia hancurkan parti saya, parti Umno. Umno dihancurkan Najib, orang yang tak hormat jasa bapa dia (Abdul Razak Hussain, perdana menteri kedua). 

“Dia terlibat nak cari duit banyak nak sogok, saya tak terima orang semacam itu…sepatutnya dia ambil alih (pentadbiran negara) dan berkhidmat semacam bapanya,” tambahnya.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau bersedia memaafkan Najib sepertimana beliau memaafkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum mereka bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH), menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Jelas Dr Mahathir, mahkamah telah mendapati Najib bersalah dan ada banyak juga lagi tuduhan yang belum dibicarakan melibatkan wang yang katanya dicuri. 

“Duit dicuri, ini dilapor hingga ke Amerika Syarikat, dia didapati bersalah dalam mahkamah dan banyak tuduhan belum dibicarakan.

“Daripada Asian Tiger kita jadi kerajaan pencuri hasil kerja Najib. 

“Minta maaf saya tak boleh kerjasama dengan dia,” kata kata Dr Mahathir lagi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan jenayah bersabit dana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1MDB, SCR International Sdn Bhd.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu tuduhan salah guna kuasa. Beliau juga dihukum penjara 10 tahun atas tiga kesalahan pecah amanah dan 10 tahun lagi untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Pada 18 Mei lalu, Mahkamah Rayuan selesai mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman dan menangguhkan keputusannya ke satu tarikh kelak. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen