DR MAHATHIR MOHAMAD menafikan beliau mahu terus berkuasa apabila mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara kepada Yang di-Pertuan Agong semasa majlis mengadap baginda di Istana Negara, minggu lalu.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebaliknya hanya mahu memberikan sumbangan kepada negara atas pengalaman panjang mengurus krisis sepanjang lebih dua dekad jadi perdana menteri dua kali sebelum ini.
“Saya nak cuba berkhidmat, bukan fikir pasal diri saya. Kalau saya fikir diri sendiri, saya nak berehat… macam orang lain, nak seronok-seronok.
“Tapi masalah ini perlukan orang yang ada pengalaman yang panjang.
“Saya ada banyak pengalaman, saya sudah tangani berbagai jenis masalah… kewangan, politik, serangan terhadap matawang kita, dan selama 22 tahun saya ada… saya dapat banyak pengalaman,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan secara di media sosial petang tadi.
Dr Mahathir juga berkata beliau tidak berhasrat untuk menjadi perdana menteri sekali lagi kerana sudah dua kali menjawat jawatan itu.
“Kalau tak nak saya tak apa, tapi saya sanggup nak berkhidmat lagi walau dah tua. Saya bukan nak suruh orang terima pendapat saya tapi saya nak beri pengalaman saya kepada negara.
“Saya bukan nak jadi pembesar negara lagi. Saya dah pegang jawatan tertinggi dalam negara hingga sudah tak boleh lebih daripada itu, dua kali saya jadi perdana menteri… cukuplah.
“Patutlah saya gunakan pengalaman saya untuk kepentingan negara, bukan kepentingan saya,” kata Dr Mahathir lagi.
Sementara itu, Dr Mahathir beliau kecewa perisytiharan darurat tidak berjaya mengekang penularan Covid-19.
Malah kes jangkitan Covid-19 meningkat lebih tiga kali ganda selepas negara diletakkan di bawah darurat, tambahnya, daripada sekitar 2,000 kes sehari melambung sehingga mencecah lebih 9,000 sehari.
“Apa guna darurat kalau keadaan tak jadi lebih baik,” katanya.
Dr Mahathir berpendapat perintah darurat ini hanya menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya apabila Parlimen tidak boleh bersidang dan tiada perbincangan umum mengenai perbelanjaan kerajaan.
“(Ini) lebih kepada salah guna kuasa… boleh belanja duit kerajaan tanpa bawa ke Parlimen, bukan berkenaan Covid-19,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, pengisytiharan darurat tiada kena mengena dengan wabak, sebaliknya cuma politik untuk kekal berkuasa.
“Sekarang masalah Covid-19 jadi buruk kerana darurat, sepatutnya bila isytihar darurat diadakan kempen dengan SOP dan suntikan vaksin.
“Kalau diadakan ini tiga bulan dulu saya yakin hari ini angka (kes jangkitan akan) turun,” tambahnya. – 15 Jun, 2021.
Komen