Saintis China nafi cipta Covid-19


Beberapa saintis mengatakan Shi mungkin telah memimpin satu eksperimen, di mana para saintis meningkatkan kekuatan virus untuk mengkaji kesannya terhadap hos. – Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

SAINTIS China yang berada di tengah kontroversi bahawa Covid-19 berasal daripada makmalnya di Wuhan telah menafikan dakwaan itu.

“Macam mana saya boleh bagi bukti untuk sesuatu yang tidak ada bukti?” Dr Shi Zhengli memberitahu The New York Times dalam komen yang sangat jarang berlaku kepada media.

“Saya tidak tahu bagaimana ia datang, terus-menerus menyalahkan saintis yang tidak bersalah,” katanya kepada akhbar harian Amerika Syarikat itu.

Bulan lepas, Presiden AS Joe Biden mengarahkan agensi perisikan untuk menyiasat asal usul Covid-19, termasuk teori bahawa ia bocor dari makmal.

Hipotesis kebocoran telah disiarkan lebih awal semasa pandemik Covid-19 menular, termasuk oleh pendahulu Biden, Donald Trump, tetapi ketika itu ia dianggap oleh media sebagai teori konspirasi.

Bagaimanapun baru-baru ini berita tentang itu kembali hangat, berikutan laporan tiga penyelidik dari Institut Virologi Wuhan jatuh sakit pada 2019 setelah mengunjungi sebuah gua kelawar di barat daya Yunnan.

Shi seorang pakar dalam koronavirus kelawar, dan beberapa saintis mengatakan dia mungkin telah memimpin satu eksperimen, di mana para saintis meningkatkan kekuatan virus untuk mengkaji kesannya terhadap hos.

Menurut The New York Times, pada 2017 Shi dan rakan-rakannya di makmal Wuhan menerbitkan laporan mengenai eksperimen “di mana mereka membuat koronavirus kelawar hibrid baharu dengan mencampurkan dan memadankan beberapa bahagian yang ada - termasuk sekurang-kurangnya satu yang hampir dapat ditularkan kepada manusia - untuk mengkaji kemampuan mereka menjangkiti dan meniru sel manusia.”

Tetapi dalam e-mel kepada akhbar itu, Shi berkata eksperimennya berbeza dengan eksperimen lain kerana mereka tidak berusaha menjadikan virus itu bahaya. Sebagai gantinya mereka berusaha memahami bagaimana virus itu dapat menjangkiti spesies lain.

“Makmal saya tidak pernah buat atau bekerjasama dalam melakukan eksperimen yang meningkatkan virulensi virus,” katanya. – AFP, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen