LEBIH 800 orang ditahan setiap hari kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini adalah trend yang berlaku sejak ‘akhir-akhir ini’.
“Jumlah yang ditahan kerana pelanggaran SOP masih tinggi, lebih dari 800 setiap hari.
“Saya harap kita semua mematuhi SOP yang ditetapkan kerana tanggungjawab untuk membendung penularan Covid-19 memerlukan kerjasama semua lapisan masyarakat,” kata menteri pertahanan dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, 780 individu ditahan kerana melanggar SOP semalam.
“Daripada jumlah itu, sejumlah 748 individu dikompaun manakala 32 lagi direman,” kata Ismail Sabri yang juga jurucakap Majlis Keselamatan Negara.
Kesalahan tersebut merangkumi kegagalan melakukan penjarakan fizikal (152), tidak memakai pelitup muka (137), kegagalan merekodkan maklumat peribadi atau daftar masuk di premis (135), membawa lebih daripada jumlah penumpang yang dibenarkan (54), kegagalan mematuhi arahan kawalan pergerakan (70) dan lain-lain (232)
Awal hari ini, Ismail berkata kerajaan akan mengkaji keperluan sama ada untuk meneruskan atau melonggarkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 sekiranya jangkitan Covid-19 menurun kepada angka 4,000 kes setiap hari. – 13 Jun, 2021.
Komen