PKP penuh lebih sukar buat Orang Asli di Hulu Terengganu


Diyana Ibrahim

Pelaksanaan PKP penuh ini amat menekan Orang Asli suku Semaq Berua di Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu, yang rata-rata bergantung hidup kepada hasil hutan. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Jun 2021.

KEPERITAN akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama belum hilang namun masyarakat Orang Asli di Hulu Terengganu terpaksa berdepan kawalan penuh yang lebih menyukarkan hidup.

Suku Semaq Berua di Kampung Sungai Berua ini memberitahu The Malaysian Insight, pelaksanaan PKP penuh ini amat menekan mereka yang rata-rata bergantung hidup kepada hasil hutan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Razak berkata, ini menyebabkan mereka tetap memasuki hutan biarpun dalam tempoh PKP demi mencari rezeki.

“Kita pun tidak tahu sama ada boleh dibenarkan bekerja atau tidak, tapi kita keluar sajalah, kalau tak mana nak dapat duit.

“Di sini kita gaji harian, duit itu diperlukan untuk beli barang makanan, keperluan,” kata Razak, 56, ketika ditemui wartawan The Malaysian Insight di kampung itu.

Katanya, mereka masih dapat bertahan sewaktu PKP dikuatkuasa buat kali pertama bermula Mac lalu, namun keadaan amat berbeza pada kali ini.

“Saya rasa kali ini lebih sukar, tak tahu kenapa tapi kita rasa serba-serbi susah kali ini. Dulu mungkin banyak bantuan sebab kampung ini ramai pihak datang bagi bantuan,” katanya.

Jelasnya, penduduk kampung bagaimanapun tidak mengharapkan bantuan bekalan makanan semata-mata kerana bagi mereka peluang mencari pendapatan lebih utama.

“Memanglah bantuan itu ada, kita dapat. Tapi kita tak mahulah tunggu bantuan saja sebab bantuan makanan akan habis, jadi kita perlu bekerja juga,” katanya.

Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh berkata pendapatan masyarakat Orang Asli terjejas kerana tiada peraih yang datang membeli hasil hutan sejak pelaksanaan PKP pada 1 Jun lepas.

Rosli, 47, berkata masyarakat Orang Asli akan tetap memasuki hutan melalui jalan di belakang kampung mereka dan mengelak jalan utama yang dikawal pihak berkuasa.

“Orang kampung biasa masuk hutan ikut jalan belakang kampung ini. Sebab kalau depan, jalan utama masuk kampung ini akan ada sekatan polis.

“Kita akan masuk ke dalam hutan dalam tiga jam perjalanan kita memang jauh sebab kalau di depan memang hasil hutan dah berkurangan.

“Cuma masalahnya walaupun kita ada hasil hutan untuk dijual tapi kalau tak ada orang yang beli memang susahlah kita,” katanya.

Rosli berkata pada kebiasannya peraih akan masuk ke kampung tersebut untuk membeli hasil hutan dari penduduk kampung.

Tambah Rosli selain menjual hasil hutan, masyarakat Orang Asli juga bekerja di ladang kelapa sawit namun bilangan itu tidak ramai.

Dianggarkan seramai 600 penduduk tinggal kampung itu, yang dibuka sejak 35 tahun lalu untuk menempatkan semula suku Semaq Beri yang dipindahkan ekoran pembinaan empangan Kenyir.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Awang berkata jika dulu mereka boleh meraih RM50- RM60 dengan menjual hasil hutan namun sejak pelaksaan PKP penuh untuk mendapatkan RM10 amat sukar.

“Dulu RM50-RM60 bagi sekali jual hasil hutan, biasa dalam dua atar tiga kali seminggu peraih akan masuk kampung beli dekat kami.

“Bolehlah untuk buat menampung kehidupan, memang lepaslah beli barang dapur. Tapi sekarang nak dapat RM10 pun susah,” kata Ibrahim, 75.

Luahnya, selain masalah pendapatan, mereka juga sukar untuk keluar membeli barang keperluan disebabkan kawalan polis yang ketat.

Satu-satunya pekan paling hampir dengan penempatan itu ialah Kuala Berang yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari kampung itu.

Kesulitan itu akan berlarutan memandangkan Putrajaya mengumumkan PKP penuh dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula 15 hingga 26 Jun.

Oleh itu Ibrahim berharap polis dapat memberi kelonggaran kepada masyarakat Orang Asli dan tidak mengehadkan jumlah penumpang untuk membeli barang keperluan.

“Tapi masalahnya sekarang ini penguatkuasaan polis terlalu ketat, hanya seorang saja dibenarkan keluar tapi kita Orang Asli ini kebanyakan tak ada kereta.

“Yang ada seorang dua, dan biasanya kita akan tumpang membeli barang.

“Kalau polis benarkan hanya seorang saja, boleh ke yang seorang ini mewakili 600 penduduk kampung untuk membeli barang,” soalnya. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen