DATUK Bandar Moscow, Sergei Sobyanin mengumumkan mana-mana penduduk di bandar itu yang selesai mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 berpeluang mengambil bahagian dalam acara cabutan bertuah kereta.
Langkah itu dilakukan sebagai usaha pihak berkuasa mempercepatkan peroses vaksinasi di Rusia berikutan jangkitan baru di Moscow dan di seluruh negara itu semakin meningkat.
“Dari 14 Jun hingga 11 Julai 2021, warganegara yang mendapat dos pertama vaksin Covid-19 akan menjadi peserta cabutan bertuah,” demikian menurut Sobyanin di laman webnya.
Setiap minggu, lima kereta akan ditawarkan, masing-masing bernilai sekitar 1 juta rubel (RM57,101).
“Tetapi tentu saja keuntungan utama bagi mereka yang mendapat vaksin tidak dapat dibandingkan dengan nilai sesebuah kereta - ia adalah kesihatan dan ketenangan fikiran mereka sendiri,” kata Sobyanin.
Sobyanin yang diberi vaksin Sputnik V pada Mei tahun lalu berkata, beliau kini ‘sihat’ selepas mendapat suntikan kedua dua hari lepas.
Sobyanin menyuarakan kebimbangan susulan lonjakan kes awal minggu ini dan mengumumkan pembukaan semula hospital lapangan dan memperkenalkan minggu ‘tidak bekerja’ hingga 20 Jun.
Semua pekerja dalam sektor tidak penting perlu berada di luar pejabat dan pemabyaran gaji diteruskan.
Bagaimanapun, buat masa ini arahan untuk tinggal di rumah belum dikeluarkan.
Sementara itu, Sobyanin mengarahkan bar dan restoran supaya melarang dan melayan pelanggan antara jam 11 malam dan 6 pagi.
Sejumlah 7,704 kes virus baru Covid-19 di Moscow dilaporkan hari ini, tertinggi dalam tempoh enam bulan. – AFP, 13 Jun, 2021.
Komen