BAKAL jemaah haji yang tertangguh giliran mereka ke tanah suci akan diberi keutamaan pada musim haji akan datang, kata Lembaga Tabung Haji (TH), selepas kerajaan Arab Saudi mengenakan sekatan perjalanan antarabangsa susulan pandemik Covid-19.
Mereka yang terlepas giliran untuk dua tahun berturut-turut ini akan diberi keutamaan apabila Arab Saudi membenarkan jemaah antarabangsa di luar negara menunaikan haji nanti, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH Amrin Awaluddin.
“Bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada 2020 dan diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada 2021, mereka sekarang akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada 2022.
“Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Arab Saudi mengumumkan ibadat haji bagi tahun ini dihadkan hanya untuk rakyatnya dan penduduk negara lain yang menetap di negara itu, sama seperti tahun lepas.
Tidak seperti tahun lalu yang dibenarkan untuk hanya 1,000 jemaah, Arab Saudi kali ini membenarkan sehingga 60,000 jemaah terdiri daripada mereka yang berumur antara 18 hingga 65 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad semalam berkata Malaysia akur dengan keputusan itu.
Indonesia dan Singapura lebih awal membuat keputusan tidak menghantar jemaahnya untuk menunaikan haji pada tahun ini.
Amrin dalam pada itu mengingatkan umat Islam bahawa berkemampuan adalah antara syarat wajib haji, dan ia termasuk kebenaran kuota haji.
Beliau juga menasihat umat Islam agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji pada tahun ini, susulan keputusan kerajaan Arab Saudi menghadkan bilangan jemaah.
“TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim hadapan,” katanya.
Polis juga sebelum ini memberi ingatan sama mengenai pakej haji dan badal haji selepas ada agensi pelancongan yang dikesan cuba menipu orang ramai dengan mengeluarkan iklan pakej haji, umrah dan badal haji untuk tahun ini. – 13 Jun, 2021.
Komen