Kadar boleh jangkit Covid-19 turun kepada 0.90, kata KP kesihatan


Kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara turun kepada 0.90 setakat semalam, berbanding 0.92 sehari sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Jun, 2021.

KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) mengikut kes harian dalam negara turun kepada 0.90 setakat semalam, berbanding 0.92 sehari sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jika mengikut pecahan negeri, Labuan mencatat Rt tertinggi dengan 1.14.

Manakala Sabah dan Negeri Sembilan mencatat Rt lebih 1.0, sementara Kuala Lumpur 1.0, menurut data yang dikongsikan Dr Noor Hisham di Facebook semalam.

Nilai Rt tertinggi seluruh negara ialah 1.13 pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 12 Mei lalu.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu, dalam satu catatan berasingan di Facebook, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya duduk di rumah jika tiada urusan penting.

“Sila duduk di rumah, kerana jika anda dan keluarga dijangkiti Covid-19, kita tidak ada katil ICU yang mencukupi.

“Kalau terpaksa keluar rumah kerana urusan penting, patuhilah kepada segala SOP (prosedur operasi standard).

“Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga,” katanya. 

Semalam, sebanyak 5,793 kes baharu Covid-19 dilaporkan, dengan 76 kematian.

Kes aktif kini mencecah 76,247, manakala kes pulih 8,334. – 13 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen