PH beri kuasa pada rakyat pilih logo


Diyana Ibrahim

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah berkata semua logo itu akan dipaparkan di portal rasmi PH dalam tempoh beberapa hari lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Mei, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) akan memaparkan 10 daripada 320 logo yang sudah disenarai pendek bagi membolehkan orang ramai memilih logo bersesuaian bagi gabungan pembangkang itu.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah berkata semua logo itu akan dipaparkan di portal rasmi PH dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kami menerima penyertaan 320 logo dari seluruh Malaysia, malah ada yang menghantar bukan saja logo tetapi kertas cadangan seperti rekaan baju dan bendera untuk PH.

“Sebanyak 10 logo dipilih dan ia akan dipaparkan untuk mendapatkan maklum balas khalayak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

PH sebelum ini dikritik teruk kerana rekaan logo mereka dikatakan hanya dibuat ala kadar.

Susulan itu pada 4 Mei PH membuka penyertaan rekaan logo kepada orang ramai.

Saifuddin berkata tidak ada hadiah ditawarkan bagi logo yang dipilih kerana peserta perlu sedia maklum ia merupakan kerja sukarelawan.

Sementara itu, pada sidang media sama, PH menggesa peletakan jawatan Speaker Pandikar Amin Mulia.

Saifuddin berkata gesaan itu dibuat memandangkan speaker gagal dalam melaksanakan tugasnya memperbaharui sistem Parlimen.

Katanya, selain gagal dalam tugasnya Pandikar juga dilihat lebih berminat untuk terlibat secara aktif dalam politik.

Ini merujuk kepada kenyataan Pandikar pada minggu lalu yang mengakui mahu kembali dalam politik. – 16 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen