Putrajaya perlu beri lebih banyak bantuan, gesa kumpulan majikan dan PKS


Putrajaya semalam mengumumkan PKP penuh dilanjutkan dua minggu lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2021.

LEBIH banyak bantuan kewangan, perluasan capaian moratorium pinjaman serta skim subsidi upah perlu dilaksanakan sekarang memandangkan kerajaan melanjutkan fasa sekatan pergerakan penuh dalam PKP 3.0, kata kumpulan majikan dan perniagaan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman JP berkata walaupun sekatan penuh tidak dapat dielakkan kerana peningkatan berterusan kes Covid-19, kerajaan juga perlu memastikan kelangsungan operasi PKS dan perusahaan mikro.

“Antara langkah yang boleh dilaksanakan segera adalah tambah baik pakej rangsangan Pemerkasa Plus dengan peruntukan tambahan sebanyak RM40 bilion.

“Kerajaan juga perlu meluaskan capaian moratorium untuk melibatkan M40 dan semua perniagaan merangkumi semua pinjaman, termasuklah overdraf, gadai janji, pinjaman kenderaan dan kad kredit.

“Moratorium perlu diberikan secara automatik selama enam bulan sehingga hujung 2021 dengan kadar faedah 0%,” kata Syed Hussain dalam satu kenyataan.

Selain itu, bank juga perlu menghapuskan faedah dan upah bank untuk penjadualan semula bayaran pinjaman dan faedah yang dikenakan untuk pembayaran lewat.

Persatuan Pengusahaan-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) juga mengeluarkan desakan serupa, menggesa lebih banyak bantuan diberikan kepada PKS memandangkan wujud ketidakpastian tentang tempoh masa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Dengan pelanjutan PKP penuh, dan mungkin untuk satu jangka masa yang lebih lama, sekali lagi, kami menggesa kerajaan mempertimbangkan rayuan hampir 1 juta PKS di seluruh negara dan memberikan mereka bantuan segera.

“Terutamanya, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pelanjutan subsidi upah sehingga hujung tahun ini, mengenakan moratorium automatik pinjaman bank dengan faedah dihapuskan sehingga hujung tahun dan menangguhkan semua pembayaran sumbangan badan berkanun termasuk bayaran cukai bulanan dari Mei hingga Disember 2021,” kata Pengerusi Samenta William Ng.

Ahli Parlimen Ipoh Wong Kah Won juga menyokong desakan supaya capaian moratorium automatik diperluas kepada M40 dan semua sektor perniagaan.

Beliau juga menggesa skim subsidi upah dilanjutkan dengan tempoh minimum tiga bulan lagi dan bayaran RM1,200 untuk setiap bekerja berbanding kadar semasa sebanyak RM600.

Semalam Putrajaya mengumumkan pelanjutan PKP 3.0 selama dua minggu lagi bermula 15 hingga 26 Jun.

Pelanjutan ini bermakna negara sedang menjalani sekatan pergerakan penuh selama empat minggu, setakat ini.

Pada hujung bulan lepas, sekatan pergerakan penuh selama dua minggu diumumkan, pakej Pemerkasa Plus pula hanya merangkumi moratorium pinjaman selama tiga bulan untuk peminjam B40 dan mereka yang hilang kerja atau sumber pendapatan terjejas.

Moratorium kali ini lebih singkat dan tidak menyeluruh berbanding moratorium automatik enam bulan ditawarkan pada PKP 1.0 tahun lepas, jumlah bayaran skim subsidi upah juga lebih rendah.

“Sekarang masa ‘perang’ dan apa sahaja caranya kerajaan perlu buat lebih baik,” kata Wong. – 12 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen