AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) segera menubuhkan pusat pemberian vaksin (PPV) di setiap negeri khusus untuk menyuntik semua pengamal media.
Katanya, melalui usaha itu, semua anggota media dapat divaksinasi dalam sehari.
“Saya cadang agar satu PPV di setiap negeri dikhususkan untuk segera memberi vaksin kepada semua petugas media yang berdaftar di negeri itu.
“Dengan cara ini, kesemua 5,000 petugas media boleh diberi vaksin dalam masa sehari,” katanya dalam stau hantaran di Facebook hari ini.
Pada April, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata wartawan akan menerima suntikan vaksin Covid-19 mereka pada Mei.
Pada Mei, katanya, kira-kira 5,000 pengamal media dari 144 agensi akan mendapat janji temu vaksinasi mereka pada minggu pertama Jun.
Namun, tiada apa yang berlaku, meninggalkan para pengamal media memulakan kempen mengeluh tentang kelewatan vaksinasi Covid-19 mereka, tidak seperti dijanjikan.
Anggota media memulakan tanda pagar #CucukMYPress dan #VaccineforMediaMY di Twitter dalam usaha mendorong kerajaan menunaikan janji memvaksinasi pengamal media.
Menyahut seruan tersebut, Khairy berkata, media, termasuk wartawan dan jurugambar, akan menerima tarikh janji temu mereka mulai Isnin (7 Jun) dan akan mula mendapat vaksin mulai Rabu (9 Jun).
Walaupun begitu, hanya sebilangan kecil pengamal media yang divaksin setakat ini.
Fahmi berkata, kerajaan perlu mempercepat vaksinasi di kalangan pengamal media, mendesak agar mereka tidak dianaktirikan.
“Saya terima baik pemberian vaksin kepada pengamal media yang bermula 9 Jun. Walau bagaimanapun, jumlah 100 dari 5,000 pengamal media masih terlalu kecil dan lambat.
“Saya juga menggesa CITF untuk memberi jaminan bahawa semua organisasi media akan diberi layanan segera yang sama, serta dipastikan pemberian vaksin di kalangan petugas media diberi secara adil.
“Jangan ada keadaan di mana hanya sesetengah media sahaja yang menerima vaksin, manakala ada media lain yang langsung belum menerima,” katanya.
Fahmi turut mempersoalkan pasukan petugas Covid-19 kenapa anggota media tidak diutamakan dalam Fasa pertama, dengan berkata media juga sebahagian daripada barisan hadapan.
“Mereka adalah sebahagian dari barisan hadapan - mereka lah pasukan yang berada di lapangan, merakam dan melaporkan segala berita setiap hari dalam usaha kita membendung penularan wabak Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok.
“Setiap kali mereka meninggalkan rumah untuk membuat liputan dalam keadaan mereka belum diberi vaksin, ia menjadi risiko kepada diri, rakan sekerja malah juga keluarga mereka.
“Sepatutnya proses vaksinasi bagi kumpulan ini bermula sewaktu Fasa 1 (24 Februari ke 18 April) bersama kumpulan barisan hadapan yang lain. Saya kesal akan kegagalan Kerajaan dalam hal ini,” katanya menambah, beliau mahuCITF menjawab kenapa pengamal media tidak tersenarai dalam fasa pertama.
Dalam pada itu, Fahmi turut meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah untuk beri penjelasan bila tarikh tepat kesemua 5,000 petugas media yang telah mendaftar akan menerima vaksin. – 11 Jun, 2021.
Komen