MALAYSIA melaporkan 6,849 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, peningkatan lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, Selangor melaporkan negeri paling tinggi jangkitan dengan 2,558 kes setakat tengah hari hari ini diikuti Kuala Lumpur dengan 884 kes dan Sarawak dengan 699 kes.
Ini merupakan hari ke-50 berturut-turut Selangor mendahului kes di antara negeri lain.
Angka terbaru menjadikan jumlah kumulatif Selangor sebanyak 211,403, perbezaan ketara dengan Kuala Lumpur yang berada di kedudukan kedua yang melaporkan 66,195 kes diikuti oleh Sabah dengan 65,330.
Semua negeri di negara ini melaporkan kes baharu hari ini dengan Perlis mencatatkan paling sedikit jangkitan dengan dua kes.
Jumlah keseluruhan kini 646,411 kes.
Sementara itu, sebelum ini dilaporkan 4,102,936 dos vaksin diberikan setakat semalam di mana 2,835,178 menerima dos pertama sementara 1,267,758 selesai menerima dos kedua. – 11 Jun, 2021.
Komen