SEBANYAK 4,102,936 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam, mengekalkan sasaran lebih 150,000 vaksin sehari untuk hari ketiga.
Menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), seramai 2,835,178 individu menerima suntikan vaksin pertama mereka sementara 1,267,758 individu selesai menerima kedua-dua dos vaksin.
CITF berkata sebanyak 157,949 suntikan vaksin diberikan semalam di mana 111,130 penerima diberi dos pertama dan 46,819 menerima dos kedua.
Pada 8 Jun, sejumlah 151,309 vaksin diberikan sementara pada 9 Jun, sebanyak 154,866 vaksin diberikan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin minggu lalu berkata kerajaan menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan sehari pada Jun.
Pada akhir Mei, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia menyasarkan kadar vaksinasi 200,000 hingga 300,000 sehari untuk mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini. – 11 Jun, 2021.
Komen