PILIHAN raya umum tidak sesuai diadakan sebelum pihak berkuasa dapat memberi vaksin kepada 80 peratus penduduknya untuk mencapai imuniti kelompok, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri menyampaikan pandangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika beliau ditanya sama ada pilihan raya dapat diadakan tahun depan atau dalam waktu terdekat, di tengah penularan Covid-19.
“Apabila kita memberikan vaksin kepada 80% rakyat di negara ini, pada ketika itu kita sudah cukup selamat.
“Sebelum itu cukup berbahaya,” katanya dalam sidang media secara maya dari pejabatnya di Putrajaya.
Jelas Dr Mahathir, semua pihak harus mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan pada September tahun lalu, yang menyebabkan gelombang baharu kes jangkitan Covid-19.
“Apa yang berlaku di Sabah boleh berlaku di seluruh negara,” katanya.
Sidang media itu diadakan selepas Dr Mahathir selaku pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur, petang tadi.
Program imunisasi Covid-19 kebangsaan untuk dua hari berturut-turut kelmarin dan semalam memberikan lebih 150,000 dos sehari, menepati sasaran harian yang ditetapkan untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok mengikut jadual sebelum akhir tahun.
Menteri penyelaras program vaksinasi Covid-19 Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menetapkan sasaran lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos. – 10 Jun, 2021.
Komen