MAJLIS Peguam Malaysia akan boikot majlis pembukaan tahun perundangan (OLY) yang berlangsung hari ini selepas presidennya George Varughese mencemuh majlis pembukaan itu sebagai “mengongkong” kerana wakil majlis peguam tidak diberi ruang untuk berucap seperti tahun sebelumnya.
Sejak 2010, ketua hakim negara, wakil peguam dari Jabatan Peguam Negara dan presiden Majlis Peguam Malaysia menguruskan OLY, sebagai rakan kongsi dalam pentadbiran kehakiman, pada majlis tahunan yang memberi arah tuju kepada undang-undang baharu.
Malah, jemputan untuk peguam negara berucap turut dibatalkan.
“Tahun ini, kami dimaklumkan mahkamah, untuk majlis OLY 2018, hanya ketua hakim negara (Raus Sharif) sahaja akan beri ucapan,” kata Varughese dalam pembukaan majlis peguam tahunan berlangsung di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur semalam.
Varughese, yang mengepalai Majlis Peguam Malaysia pada Mac 2017 berkata, perubahan format dari tiga ucapan kepada hanya satu sahaja ucapan itu melambangkan jatuhnya peranan Majlis (Peguam Malaysia) dalam OLY.
“Jika kami ambil bahagian, (peranan) kami hanya akan lebih mengecil dari tetamu yang dijemput. Ini juga bermaksud ia mengongkong Majlis Peguam Malaysia selain menimbulkan persoalan sama ada perubahan format ini adalah hasil dari apa yang Majlis Peguam Malaysia suarakan.
“Majlis Peguam Malaysia sentiasa bertindak dan bersuara tanpa gentar atau menyebelahi mana-mana pihak. Justeru, bila dijemput berucap, kami akan berusaha untuk suarakan apa yang perlu disuarakan,” katanya.
Majlis Peguam Malaysia memberitahu mahkamah tentang keputusan mereka dan “menyampaikan hasrat” yang OLY 2019 akan sekali lagi menyertakan ucapan dari wakil Jabatan Peguam Negara dan presiden Majlis Peguam Negara.
Semalam, Varughese merujuk kejadian pada 2017 yang mana mungkin memberi kesan pada OLY 2018.
Pada 10 Oktober lalu, Majlis Peguam Malaysia telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Raus dan presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin untuk memohon pengisytiharan bahawa pelantikan mereka adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan, dan memerintahkan agar mereka dikeluarkan dari pejabat masing-masing.
Saman itu juga ditujukan kepada bekas ketua hakim Arifin Zakaria atas nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.
Pelantikan itu dibuat dengan sengaja menurut Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Arifin kepada Yang di-Pertuan Agong.
Manakala lanjutan tempoh beliau sebagai ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan, untuk tempoh tiga dan dua tahun itu berada di luar had umur yang ditetapkan Perlembagaan iaitu 66 tahun dan 6 bulan. – 12 Januari, 2018.
[Berita penuh di sini]
Komen