PAKATAN Harapan masih sedia membuka pintu rundingan pembahagian kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan PAS walaupun parti Islam itu terus tidak menunjukkan minatnya untuk bekerjasama.
“Kita terbuka untuk berunding dengan semua parti pembangkang, termasuk PAS jika mereka masih anggap ia sebagai parti pembangkang,” kata Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah PH bersedia berunding dengan PAS meskipun parti Islam itu memutuskan hubungan politik dengan PKR di Selangor, baru-baru ini.
Katanya, rundingan kerusi bagi empat parti pembangkang sudah lama dibincangkan dalam PH, malah sebelum muktamar PAS lagi.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata PH tidak hanya bergantung kepada PAS sebaliknya akan turut bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang masih belum diumumkan.
“Masih ada parti yang belum dan tidak secara rasmi (terbabit dalam kerjasama pembangkang) dan kita masih bercakap dengan mereka, dengan cara tertutup atau bilateral,” katanya.
Selepas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, PAS mendakwa mereka akan bertanding di semua kerusi dengan sasaran memenangi lima negeri pada PRU akan datang.
Biro politik PKR akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi memutuskan kedudukan tiga exco di Selangor namun tanpa kehadiran Menteri Besar Mohamed Azmin Ali. – 16 Mei, 2017.
Komen