BEKAS pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star), Phillip Among mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang peserta Unduk Ngadau atau ratu cantik Pesta Kaamatan di Kota Kinabalu, lapor Bernama.
Philip Among atau nama lainnya Daniel Dell Fidelis, 52, dituduh menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah rumah penginapan di Kota Kinabalu pada 11 malam, 17 April lepas.
Dia juga dituduh atas empat kes sama melibatkan seorang peserta Unduk Ngadau di bebeapa lokasi berbeza di sekitar Kota Kinabalu antara 2 petang dan 10 malam pada 19 Mei.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, jika disabitkan kesalahan.
Ahli perniagaan itu dibenarkan ikat jamin oleh Majistret Jessica Ombou Kakayun dengan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 14 Julai ini.
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali sementara tertuduh diwakili peguam Marcel Jude.
Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik tradisional tahunan yang diadakan bersempena perayaan Pesta Kaamatan yang disambut oleh etnik Kadazandusun serta rakyat di negeri ini pada setiap Mei.
Philip minggu lalu digantung keahliannya oleh Star susulan dakwaan yang dihadapinya. – 10 Jun, 2021.
Komen