905 pesakit Covid-19 di ICU


KKM hari ini melaporkan seramai 905 pesakit Covid-19 dirawat di ICU, dengan 453 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Gambar Facebook Dr Noor Hisham Abdullah, 9 Jun, 2021.

JUMLAH pesakit kritikal Covid-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh negara terus mencatat peningkatan sejak bulan lalu.

Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan jumlah pesakit Covid-19 di ICU kini mencecah 905 orang, dengan 453 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah pesakit ICU yang dilaporkan semalam 903 orang.

Kes Covid-19 di ICU mula bertambah sejak 5 Mei, dengan 354 pesakit dilaporkan. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata penggunaan katil ICU di hospital seluruh negara kini melebihi had maksimum, mencecah 104% pada 6 Jun berbanding 96% pada 24 Mei.

Situasi ini sekali gus amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU, katanya.

Tambahnya, hospital di seluruh negara kini berdepan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius iaitu kategori 4 dan 5. Pesakit tahap ini memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan, terutamanya golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit atau komorbiditi.

“Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.

“Statistik yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi ketegori 4 adalah antara 14 ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula memerlukan 19 ke 26 hari,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan semalam. 

Beliau juga mengingatkan situasi penularan Covid-19 dalam negara masih serius walaupun angka harian yang dilaporkan menunjukkan penurunan.

Malaysia hari ini mencatat 6,239 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini 633,891. Jumlah kematian pula meningkat kepada 3,611 selepas 75 lagi kes dilaporkan hari ini. – 9 Jun, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen