DENGAN peningkatan pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan angka kematian yang tinggi, doktor terpaksa berdepan tekanan apabila tiba masa untuk mereka tentukan pesakit yang akan terus dirawat dan sebaliknya.
Walaupun sudah sedia berdepan tekanan fizikal, doktor memberitahu The Malaysian Insight mereka sangat takut apabila terpaksa berdepan dilema dalam menentukan pesakit yang akan menerima alat bantuan pernafasan yang mana bekalannya semakin berkurangan.
Walaupun kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) mencatatkan penurunan bawah 1.0 sejak dua hari lalu, negara masih melaporkan lebih 5,000 kes jangkitan baharu setiap hari. Beberapa minggu sebelum ini, jumlah kes harian pernah mencecah sehingga 8,000 dan 9,000.
Doktor mengatakan ketika pandemik terus melonjak dan program vaksinasi meningkat, mereka meramalkan keadaan akan bertambah buruk sebelum ia menjadi lebih baik.
Seorang pakar bius berkata ketika beliau mula ditempatkan di sebuah hospital di Lembah Klang awal Disember tahun lalu, kira-kira 10 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan setiap minggu. Menjelang Januari, jumlahnya bertambah kepada 20 hingga 30 pesakit seminggu.
Beliau yang kini bertugas di Kuching berkata dianggarkan lebih 100 pesakit menerima alat bantuan pernafasan sejak pandemik bermula dan lebih 30 pesakit meninggal dunia akibat virus.
“Sejujurnya, sekarang ini apabila anda harus memilih siapa yang mendapat alat bantuan pernafasan, siapa yang anda intubasi, siapa yang sebenarnya anda selamatkan, semua ini memberi kesan kepada kami.
“Bagi pesakit yang berusia 80an atau 90an yang menghidap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi, biasanya apabila diberikan alat bantuan pernafasan untuk tiga hingga lima hari, mereka tidak akan bertahan.
“Kini dengan lebih ramai pesakit muda setiap hari, kami terpaksa (memilih),” kata pakar bisu yang enggan namanya disiar.
Beliau berkata petugas kesihatan yang perlu merawat pesakit kritikal turut berdepan masalah kekurangan tenaga kerja, terutamanya jururawat untuk menjaga pesakit di ICU.
Sebagai pakar bius, beliau sering menjadi individu terakhir yang bertemu dan bercakap dengan pesakit sebelum mereka dibius untuk alat bantuan pernafasan dan beiau memastikan mereka menghubing keluarga menerusi panggilan video sebelum itu.
“Kami benarkan panggilan video antara pesakit dengan ahli keluarga. Ada ahli keluarga meminta kami mencuba sedaya upaya dan mereka akan mengucapkan apa sahaja kata-kata terakhir yang mereka mahu.
“Kami sentiasa berikan mereka harapan. Kami sentiasa beritahu mereka mereka mampu menghadapinya,” katanya.
Beliau turut mengimbas kenangan manis apabila pesakit yang diberi alat bantuan pernafasan 10 hari sebelum sembuh dan alat bantuan pernafasan ditanggalkan.
“Saya masih ingat seorang pakcik, sebelum Tahun Baharu Cina, kami perlu pasangkan alat bantuan penafasan dan 10 hari kemudian apabila kami tanggalkan alat berkenaan, dia bangkit gembira.
“Kami boleh benarkan dia keluar wad sebelum Tahun Baharu Cina, Dia sangat gembira. Dia belanja kami di ICU. Dia belikan limau dan belanja kami makan.
“Segelintir daripada mereka berakhir dengan gembira dan ada yang tidak dapat bertahan,” katanya yang menambah ada pesakitnya yang meninggal selepas tiga hari menggunakan alat bantuan pernafasan. – 9 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen