KADAR penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh negara kini melebihi had maksimum, mencecah 104% dua hari lalu berbanding 96% pada 24 Mei, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Situasi ini sekali gus amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU, tambah ketua pengarah kesihatan.
Dr Noor Hisham berkata hospital di seluruh negara kini berdepan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius iaitu kategori 4 dan 5. Pesakit tahap ini memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan, terutamanya golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit atau komorbiditi.
“Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.
“Statistik yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi ketegori 4 adalah antara 14 ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula memerlukan 19 ke 26 hari,” katanya dalam kenyataan.
Beliau seterusnya mengingatkan situasi penularan Covid-19 dalam negara masih serius walaupun angka harian yang dilaporkan menunjukkan penurunan.
Angka jangkitan katanya boleh meningkat sekiranya masyarakat mudah alpa.
“Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak menyebarkan interpretasi tidak benar mengenai situasi semasa ini.”
Dr Noor Hisham dalam pada itu berkata kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU turun dari 99% kepada 89% dalam tempoh dua minggu. Penggunaan katil di Pusat Rawatan dan Rawatan Covid-19 pula 54%.
Masyarakat kemudian diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard, menjalani ujian sekiranya mengalami gejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif.
Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini jangkitan Covid-19 daripada sumber yang sahih, serta mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin. – 8 Jun, 2021.
Komen