Atlet Thai terima suntikan vaksin menjelang Paralimpik


Thailand melancarkan usaha vaksinasi Covid-19 besar-besaran semalam dalam usaha mengekang penyebaran wabak. – Gambar EPA, 8 Jun, 2021.

SETELAH Thailand melancarkan usaha vaksinasi Covid-19 besar-besaran semalam, pemenang pingat emas Paralimpik wanita pertama Thailand, Saisunee Jana, merupakan antara atlet yang menerima suntikan vaksin di Stadium Tertutup Huamark di Bangkok.

Menjelang Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun, atlet lawan pedang paralimpik disiplin épée kerusi roda Thailand berusia 46 tahun itu antara atlet, jurulatih dan pegawai yang menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam.

Menurut Atlet yang telah lima kali menyertai paralimpik itu, suntikan vaksin Covid-19 akan memastikan keselamatannya dalam pertandingan Paralimpik Tokyo Ogos ini.

Saisunee yang memenangi épée wanita pada Sukan Paralimpik Athens 2004 dan Sukan Paralimpik London 2012 mengatakan kebimbangannya jika dijangkiti Covid-19.

“Ini adalah kebimbangan terbesar saya jika terpaksa melepaskan peluang untuk bertanding di Paralimpik Tokyo tahun ini disebabkan Covid-19, dan latihan selama bertahun-tahun akan sia-sia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ketua jurulatih Pasukan Berbasikal Kebangsaan Thailand, Christian Stauffer, 55, yang akan ke Tokyo pada pertengahan Ogos mengatakan risiko mendapat Covid-19 tetap ada.

“Vaksin adalah penyelesaian untuk masalah ini. Semakin ramai orang divaksin, ia semakin baik, ” katanya ketika ditemui selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Ketika ditanya risiko yang disebabkan perjalanan kerana terdapat lonjakan global dalam kes Covid-19, Stauffer menjawab; “Semua orang bertanggungjawab untuk keselamatan masing-maasing ... Setiap orang mesti melakukan yang terbaik untuk mematuhi peraturan dan meminimumkan risiko jangkitan.”

Sukan Paralimpik Tokyo 2021 akan bermula pada 24 Ogos, setelah Olimpik berlangsung pada Julai-Ogos dan para atlet sedang mengikuti latihan intensif.

“Meskipun kemungkinan penyertaan di luar negara rendah, latihan tetap berjalan. Sebahagian atlet kami baru pulang dari Piala Dunia Para-Berbasikal UCI 2021 di Belgium,” katanya.

Sementara itu, pemain bola keranjang kerusi roda berusia 42 tahun yang dikenali sebagai Nopadon juga yakin vaksinasi akan memberi perlindungan yang berkesan kepada semua atlet terhadap virus itu. 

Pada Isnin, Thailand memulakan kempen vaksinasi Covid-19 besar-besaran bertujuan memvaksin 70 peratus daripada hampir 70 juta penduduknya pada akhir tahun ini untuk mencapai kekebalan kelompok.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 986 pusat vaksinasi di seluruh negara. Sebanyak 306,580 orang di seluruh negara mendapat vaksin Covid-19 mereka pada Isnin. – Bernama, 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen