Selepas ruang udara, kapal China dikesan masuk perairan Malaysia, kata APMM


Kapal pengawal pantai China dilapor menceroboh pesisir Miri, beberapa hari selepas jet tempurnya memasuki ruang udara negara, kata Maritim Malaysia.

KAPAL pengawal pantai milik China dilaporkan menceroboh kawasan perairan Malaysia di pesisir Miri, hanya beberapa hari selepas pesawat tempurnya dikesan memasuki ruang udara negara, lapor media.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Miri Md Fauzi Othman dipetik berkata pihaknya menerima laporan mengenai kapal itu yang berada dekat Beting Patinggi Ali pada 4 Jun.

Kawasan itu terletak kira-kira 155 kilometer dari pantai Miri.

“Aset milik APMM dan Tentera Laut Malaysia sedang memantau keadaan dengan dekat,” Md Fauzi seperti dipetik oleh The Star.

Aset milik Malaysia itu dikerah berkawal dekat Beting Patinggi Ali untuk mempertahankan kedaulatan negara, kata laporan itu.

Wisma Putra pada 3 Jun memanggil duta besar China ke Malaysia dan menyerahkan nota bantahan Putrajaya berhubung kejadian pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara negara di pesisir Sarawak.

Tentera Udara Diraja Malaysia berkata 16 pesawat tempur China dikesan melakukan formasi taktikal dekat Beting Patinggi Ali.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2018 pernah mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China dan tentera laut republik itu menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019. – 8 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen