LANGKAH untuk mempercepat dan meluaskan vaksinasi Covid-19 adalah dengan mewartakan semua klinik Kementerian Kesihatan sebagai pusat pemberian vaksinasi (PPV), cadang DAP.
Ini, lebih-lebih lagi, perlu dibuat di kawasan luar bandar memandangkan ia akan membantu mempercepat sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Disember, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“DAP menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk bertindak segera dengan mewartakan semua Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan sebagai PPV untuk memastikan vaksinasi tersedia, mudah diakses dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia, terutama di luar bandar.
“Pada masa ini, hanya terdapat 382 PPV di seluruh negara, yang mana 11 di Pulau Pinang dan 29 di Sabah. Ini jelas tidak mencukupi untuk kedua-dua negeri tersebut,” kata Lim dalam satu kenyataan.
“Mengubah klinik kesihatan menjadi PPV juga akan membantu memperluas jangkauan dan akses vaksinasi ke kawasan luar bandar.
“Banyak yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka,” tambah ahli Parlimen Bagan yang juga bekas menteri kewangan itu.
Katanya, tidak realistik bagi 382 PPV untuk memvaksinasi secara berkesan 80% daripada 32.7 juta penduduk Malaysia.
Katanya jumlah PPV yang tidak mencukupi adalah punca kenapa program imunisasi kebangsaan perlahan, selain kelewatan tempahan bekalan vaksin oleh kerajaan dan juga penundaan penghantaran.
Jumlah terkini vaksinasi oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui Twitter adalah setakat 6 Jun, dengan 3.5 juta dos telah diberikan.
Daripada jumlah itu, 2.4 juta adalah untuk dos pertama dan 1.13 juta adalah dos kedua.
Ini bermaksud 7.5% penduduk negara telah menerima satu dos dan hanya 3.5% penduduk yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin. – 8 Jun, 2021.
Komen