PUTRAJAYA wajib memvaksinasi semua pekerja asing tanpa mengira status bagi memastikan Malaysia mencapai matlamat imuniti kelompok pada Disember, kata kumpulan pemikir Iman Research.
Organisasi yang memfokuskan keselamatan perlindungan dan masyarakat itu berkata tindakan keras terhadap pekerja asing tidak berdasarkan sains dan belas kasihan.
“Iman Research sangat prihatin kerana keputusan Kementerian Dalam Negeri tidak berdasarkan ilmu sains dan belas kasihan, kerana ia akan membahayakan nyawa rakyat Malaysia dan juga warga asing, selain menunda negara dari menamatkan krisis ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan akan tangkap pendatang asing sepanjang sekatan pergerakan dari 1 Jun hingga 14 Jun ini bagi memastikan mereka divaksinasi.

Menurut data Jabatan Perangkaan, pada 2017, jumlah pekerja asing berdokumen di Malaysia adalah 2.27 juta sementara ada 1.2 juta lagi tidak ada dokumen atau inap lebih tempoh.
Bagaimanapun, jumlah tidak rasmi menunjukkan mungkin terdapat hingga empat juta pekerja asing tidak berdokumen di negara ini.
“Pekerja asing, baik yang ada dokumen atau tidak, adalah tulang belakang ekonomi kita dan mereka sangat penting untuk pemulihan selepas Covid-19 kita.
“Mereka berintegrasi dalam masyarakat kita; mereka menggunakan perkhidmatan awam yang sama, dan bekerja dengan rakyat Malaysia,” kata kumpulan pemikir itu.
Tambahnya, ancaman untuk mengumpulkan golongan rentan ini hanya akan menimbulkan rasa takut dan tidak percaya pada seluruh masyarakat pendatang asing terhadap pihak berkuasa, sekali gus mengganggu usaha vaksinasi.
Iman Research memohon kerajaan menetapkan moratorium penahanan pendatang asing tanpa dokumen sampai pandemik ditangani selain bekerjasama dengan kumpulan masyarakat sivil bagi membantu vaksinasi kumpulan tersebut.
“Bekerja dengan kumpulan masyarakat sivil dan majikan untuk memastikan vaksinasi pekerja asing dan bukannya tangkap mereka. Ini adalah untuk kepentingan ekonomi dan majikan agar pekerja mereka diberi vaksin. Ini juga akan membantu mengurangkan rasa takut dan tidak percaya.”

Dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah asrama di Cyberjaya pada Isnin malam, 156 pekerja asing tanpa dokumen ditahan.
Serbuan itu susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin baru-baru ini bahawa pendatang asing tanpa dokumen akan ditangkap dalam tempoh 14 hari sekatan pergerakan.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, dari 202 pekerja asing yang disaring, hanya 46 dibebaskan sementara selebihnya ditangkap kerana tidak mempunyai dokument sah. – 8 Jun, 2021.
Komen