India longgar sekatan di New Delhi, Mumbai


Petugas kesihatan mengambil sampel sapuan suspek Covid-19 di New Delhi, India. Negara itu pernah mencatatkan lebih 75,000 kes dalam jangka masa 24 berjam dan disenaraikan sebagai salah satu negara paling terjejas teruk di dunia. – Gambar EPA, 1 September, 2020.

KERAJAAN India mula melonggarkan sekatan secara berperingkat di New Delhi dan Mumbai hari ini selepas kes jangkitan di dua bandar itu menunjukkan penurunan dalam tempoh dua bulan lalu.

Hospital di dua bandar besar itu mengalami masalah kekurangan peralatan dan bekalan oksigen selepas kes meningkat mendadak pada April dan Mei.

Peningkatan kes itu menjadikan India sebagai negara kedua paling tinggi merekodkan kematian dan kes jangkitan selepas Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa di Delhi dan Mumbai serta beberapa bandar dan negeri lain terpaksa melaksanakan sekatan pergerakan dan larangan aktiviti bagi mengekang wabak itu.

“Kita perlu kekal selamat daripada jangkitan Covid-10 dan memulihkan semula ekonomi,” kata Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal.

Antara kelonggaran yang diberikan termasuk pembukaan semula kedai dan pusat beli belah selain perkhidmatan tren Delhi Metro yang dibenarkan dengan kapasiti 50%.

Delhi pernah mencatatkan purata 25,000 kes sehari dan semalam hanya 381 kes direkodkan.

Di Mumbai, sebanyak 11,163 kes dicatatkan pada awal April tetapi semalam hanya 794 kes sahaja dilaporkan.

Pakar memberi amaran walaupun kes jangkitan menurun di Delhi, Mumbai dan beberapa bandar besar lain, wabak itu masih menular di kawasan pendalaman termasuk negeri di selatan negara itu.

Hari ini, India melaporkan lebih 100,000 kes jangkitan baharu selepas beberapa hari merekodkan purata 400,000 kes pada Mei dan hampir 2,500 kematian.

Angka keseluruhan korban akibat Covid-19 di negara itu kira-kira 347,000 walaupun pakar mendakwa angka sebenar lebih tinggi kerana ada kematian yang tidak direkodkan. – AFP, 7 Jun, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen