Universiti tak boleh dikawal konservatif agama, kata Ramasamy


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengulas keputusan UTM membatalkan program membabitkan tokoh tarian klasik India terkenal Ramli Ibrahim, yang sepatutnya berlangsung secara dalam talian Sabtu lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2021.

MALAYSIA akan menjadi sebuah negara yang gagal jika institusi pendidikan dikawal oleh golongan konservatif agama, kata P Ramasamy.

Negara bila-bila masa sahaja akan gagal jika perbezaan pendapat disekat, menurut timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membatalkan Program Perkongsian Seni Tarian Merentas Bangsa membabitkan tokoh tarian klasik India terkenal Ramli Ibrahim, yang sepatutnya berlangsung secara dalam talian Sabtu lalu.

Pembatalan atas arahan Pusat Islam universiti berkenaan atas “sebab-sebab tertentu”, penganjur program dilaporkan berkata.

Ramasamy berkata arahan itu menunjukkan bahawa golongan konservatif Islam sudah mula meluaskan pegaruh di institusi-insitusi pendidikan dalam negara.

“Jika pengaruh pusat Islam universiti begitu kuat, jadi apa perlunya UTM mempunyai pentadbiran sendiri?

“Universiti berhak mendapatkan pandangan, tetapi keputusan mestilah dibuat oleh naib canselor,” katanya.

Tambahnya, pembatalan program melibatkan Ramli antara lain mencerminkan bahawa peranan Pusat Islam UTM lebih besar berbanding Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya faham Rami ingin bercakap tentang seni, budaya dan tarian yang merentas agama dan bangsa.

“Beliau mungkin hendak bercakap tentang tarian-tarian lain, bukan hanya tarian India,” jelas timbalan pengerusi DAP itu.

Katanya lagi, Ramasamy menerima banyak anugerah antarabangsa dan menjadi aset negara dalam mempromosikan kepelbagaian seni dan budaya. – 7 Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen