Kalau sudah habis tegur, Umno akan tarik diri dari kerajaan, kata Khaled Nordin


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata Umno ada tanggungjawab moral untuk terus menegur dan tidak boleh membisu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

UMNO akan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya keadaan tidak bertambah baik selepas ia habis menegur dan mengkritik kerajaan, kata naib presidennya Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, Umno berhak berbuat demikian dan bukan hanya terus menegur sahaja seperti sekarang kerana ia parti terbesar yang membentuk kerajaan.

“Suka atau tidak, itu hakikat. Jadi, Umno mempunyai hak, tugas dan tanggungjawab moral memastikan pemimpinnya dalam PN dan PN secara umumnya melakukan yang terbaik untuk rakyat. 

“Bukan sekadar menegur, Umno berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri besar Johor berkata Umno ada tanggungjawab moral untuk terus menegur dan tidak boleh membisu.

“Semua ini adalah untuk kebaikan bersama,” katanya.

Khaled menjawab persoalan terhadap Umno yang terus mengkritik PN biarpun ia sebahagian daripada kerajaan, yang mentadbir di Putrajaya sejak Mac 2020 selepas percaturan politik pada hujung Februari sebelumnya.

Beberapa pemimpin Umno secara terbuka minggu lalu misalnya mengkritik keras cara kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengendalikan kelulusan kepada sektor perkhidmatan dan ekonomi perlu selepas penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh antara 1 hingga 14 Jun ini.

Mereka juga mengkritik sikap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang dilihat lebih membela pihak bank dan bukannya rakyat yang terjejas akibat pelbagai sekatan.

Jelas Khaled, sekiranya Umno tidak mengkritik kerajaan PN, ia akan dianggap “sekapal”, “satu gang” dan “sama sahaja”, dan itu tidak akan menguntungkan parti pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana- mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu adalah dari kalangan kita. 

“Umno tidak boleh bersikap demikian. Kerana, seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit,” katanya.

Umno juga mengkritik kerajaan kerana mengikut ajaran Nabi Muhammad supaya berkata benar biarpun pahit, tambah Khaled.

“Janganlah kesalahan orang sebesar kuman di sebarang laut kita nampak. Salah rakan sendiri sebesar gajah di depan mata, kita boleh tersepak,” katanya.

Beliau juga berkata fokus Umno adalah rakyat dan negara, dan sesiapa yang melakukan tindakan yang tidak bermanfaat kepada negara akan terus ditegur, dikritik malah ditentang. – 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen