SEKURANG-kurangnya 70,000 guru telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.
Kementerian Pendidikan pula sedang merancang untuk menambah lagi jumlah guru yang divaksin dan perkara itu telah dibincangkan bersama menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, katanya.
“70,000 orang guru telah menerima bagi dos pertama dan kita akan usaha untuk meningkatkan proses imuniti bagi guru- guru di bawah KPM,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Laporan sebelum ini menyebut terdapat 500,000 guru kerajaan dan swasta di seluruh negara.
Mohd Radzi menjawab pertanyaan mengenai status jumlah guru yang sudah menerima vaksin Covid-19.
April lepas, Khairy berkata pihaknya menunggu daripada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan senarai guru swasta dan kerajaan yang akan dimasukkan dalam senarai penerima vaksin fasa kedua program kebangsaan.
Guru adalah antara kelompok yang diberi keutamaan pada fasa kedua, bersama warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan komorbid.
Khairy pada masa itu juga berkata pemberian vaksin kepada golongan pendidik bergantung pada jumlah bekalan semasa pelalian yang ada di Malaysia.
Sehingga tengah malam tadi, keseluruhan lebih 3.49 juta orang sudah divaksin dengan 2.36 juta orang menerima dos pertama dan hampir 1.13 juta sudah lengkap menerima dos kedua. – 6 Jun, 2021.
Komen