Nurul Izzah sahkan Dr Mahathir tidak mohon rasmi lawat Anwar


Kamles Kumar

Nurul Izzah berkata berkata perintah halangan yag dikenakan pihak berkuasa itu perkara remeh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Januari, 2018.

NURUL Izzah hari ini mengesahkan Dr Mahathir tidak membuat permohonan rasmi untuk bertemu bapanya, iaitu pemimpin PKR yang kini dipenjarakan, Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR itu berkata perintah halangan yag dikenakan pihak berkuasa itu perkara remeh, sedangkan Perdana Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz mendapat kebenaran tanpa bertulis.

“Tiada permohonan bertulis (dari Dr Mahathir), dan saya mengatakan pihak berkuasa beri kebenaran secara sembarangan.

“Menteri-menteri yang melawat, termasuk PM dan Datin Seri Rosmah, Nazri Aziz dan Zahid Hamidi juga mendapat kebenaran tanpa bertulis,” beliau berkata kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.

Semalam Dr Mahathir tidak dibenarkan bertemu Anwar di Hospital Pemulihan Cheras dan kakitangan hospital itu memberitahu ia adalah arahan pihak atasan.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengiringi Pengerusi Pakatan Harapan itu semasa lawatan semalam.

Pada Ahad lalu, Dr Mahathir telah diumumkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan dan ini kali pertama beliau mahu melawat Ketua Umum PKR itu.

Semalam pula, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed mengatakan Anwar masih seorang banduan dan tertakluk kepada peraturan Jabatan Penjara, maka sesiapa sahaja yang hendak melawatnya perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau bagaimanapun menafikan arahan itu datang dari kementeriannya.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Zulkifli Omar semalam menjelaskan larangan itu adalah bagi mengelak timbulnya kontroversi dan kerana ada ancaman keselamatan. Larangan itu juga katanya dibuat oleh pegawai bertanggungjawab ke atas Penjara Sungai Buloh. – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen