SPR buat rayuan pewartaan pengundi tentera di Segamat


Bede Hong

Rayuan itu dibuat tengahari semalam bagai memboleh SPR mewartakan 949 nama pengundi baru anggota tentera dan keluarga mereka dalam daftar pemilih di Segamat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah merayu arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya mereka menghentikan pewartaan nama tentera dalam daftar pemilih Segamat.

Rayuan itu difailkan tengahari semalam, kata Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan kepada The Malaysia Insight.

Minggu lepas, SPRM membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan 48 pengundi untuk membuang nama 949 anggota tentera dan keluarga mereka sebagai pengundi baru kawasan Parlimen Segamat.

Suruhanjaya itu berhasrat mewartakan nama terlibat dalam daftar pemilih untuk suku ketiga tahun lepas.

Peguam Negara sebelum ini memfailkan bantahan awal terhadap semakan kehakiman yang difailkan 48 pemohon itu, tetapi Hakim Azizah Nawawi menolaknya semalam.

Azizah juga membenarkan bantahan 48 pengundi Segamat itu didengar di mahkamah.

Pengurusan kes dijadualkan berlangsung pada 16 Januari.

Bulan lepas, pengundi Segamat diketuai Abdul Wahab Hassan memfailkan permohonan untuk mengeluarkan 949 nama anggota tentera dan keluarga mereka sebagai pengundi baru dalam daftar pemilih kawasan itu.

Pengundi baru itu adalah penghuni kem tentera yang hanya akan disiapkan April depan.

Pengundi memohon arahan mahkamah supaya mengisytiharkan tindakan memasukkan nama tentera dan keluarga mereka dalam senarai daftar pemilih melanggar Perlembagaan atas alasan mereka masih tidak menetap di kawasan itu.

Dalam afidavit menyokong permohonan mereka, pengundi berkata banyak kepincangan terbongkar ketika pendengaran awam dilakukan SPR antara 4 hingga 10 Disember tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, kerusi Segamat dimenangi Presiden MIC Dr S. Subramaniam yang mengalahkan calon PKR, Dr Chua Jui Meng dengan majoriti 1,217 undi.  – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen