PELAKSANAAN sekatan pergerakan penuh sudah terlalu lambat buat ribuan keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat virus Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau berkata ini merupakan satu kegagalan buat kerajaan kerana tidak melaksanakan sekatan itu lebih awal.
“Satu kegagalan paling besar kerajaan apabila ribuan nyawa rakyat Malaysia terkorban secara sia-sia sebab tidak buat sekatan pergerakan penuh dengan ketat lebih awal lagi pada bulan Januari atau pada bulan Ramadan seperti disaran, didesak ramai.
“Akhirnya buat juga sekatan pergerakan. Tetapi sudah terlambat bagi ribuan keluarga mangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Berdasarkan statistik, Najib berkata Malaysia menjadi antara negara yang paling tinggi mencatatkan peningkatkan kes kematian Covid-19.
“Harap trend kenaikan sejak dua bulan lalu ini tidak akan berterusan.
“Tapi saya risau sebab jumlah kes yang masih aktif semalam adalah 84,369 pesakit iaitu rekod tertinggi.
“Pesakit serius dalam ICU pula seramai 883 orang. Rekod tertinggi,” katanya.
Beliau berkata kes pesakit paling serius yang memerlukan bantuan alat pernafasan semalam turut pecah rekod tertinggi dengan 459 pesakit.
“Penggunaan kapasiti ICU hospital juga telah cecah 100% sejak 25 Mei lalu,” katanya.
Dalam satu lagi hantaran, Najib mengkritik Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pemberian moratorium pinjaman bank kepada rakyat.
“Hari itu, Menteri Kewangan PN kata dia tak ada kuasa untuk arahkan bank memberi moratorium automatik tanpa faedah.
“Hari ini, dia kata dia sememangnya ada kuasa untuk arahkan bank tapi kerajaan perlu beri pampasan pada bank.
‘Lalu, dia kata dia tak ada kuasa mutlak juga sebab perlu kelulusan kabinet kerajaan PN,” kata Najib.
Beliau menyimpulkan bahawa sama ada kerajaan arah bank untuk laksana moratorium atau bayar pampasan, bank tetap akan untung. – 5 Jun, 2021.
Komen