WILAYAH Persekutuan meningkatkan kadar ujian saringan Covid-19 bagi mengesan penularan wabak itu dengan lebih awal, kata menterinya Annuar Musa.
Beliau berkata ujian saringan dilaksanakan secara besar-besaran di flat PPR di Kuala Lumpur.
“Ketika ini, banyak kes yang tidak menunjukkan simptom dan sebab itu ujian saringan besar-besaran ini amat penting,” katanya ketika melawat flat PA Sri Sabah 3A, Bandar Tun Razak KL.
Hari ini merupakan hari pertama pihak kementerian itu melaksanakan ujian saringan besar-besaran di ibu negara.
Annuar berkata jika individu didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian, mereka akan diberi gelang merah dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan arahan Pemantauan Dari Rumah (HSO) kepada mereka.
Katanya walaupun penduduk tidak dipaksa menjalani ujian saringan itu, beliau menggalakkan mereka untuk berbuat demikian sebagai usaha menentang wabak itu.
Pada Khamis, menteri Wilayah Persekutuan itu berkata program ujian saringan besar-besaran akan dilaksanakan di empat pangsapura awam di Bandar Tun Razak.
Program itu akan diadakan selama beberapa hari di Dewan PA Seri Sabah 3A, Dewan PA Seri Sabah 3B, Dewan PA Seri Pulau Pinang dan Dewan PA Seri Kota.
Sepanjang bulan Jun, sebanyak 15 lokasi akan dijadikan tempat ujian saringan besar-besaran di sekitar Kuala Lumpur.
Annuar turut mengumumkan bahawa program pilot pusat pemberian vaksin bergerak akan dilaksanakan di PPR Muhibah di Lembah Pantai dengan melibatkan 1,000 individu akan bermula 7 Jun ini.
Penduduk Noor Amelia, 29, mengalu-alukan insiatif itu dan berkata ujian saringan yang dijalankan di klinik dan hospital menelan kos tinggi.
“Saya meminta keluarga saya datang sekali hari ini untuk menjalani ujian ini kerana kami tidak tahu siapa pembawa virus,” katanya.
Suresh Ratnam,44, berkata dia berharap lebih ramai untuk mengambil peluang ini.
“Tiada gunanya jika hanya sebahagian kecil daripada kita melakukan ujian ini dan selebihnya tidak.
“Ujian saringan percuma ini peluang yang baik untuk kita terutamanya masyarakat B40 bagi mengesan pembawa virus,” katanya.
Cheng Joon, 51, berkata dia percaya masih ramai lagi tidak turun menjalani ujian itu walaupun jumlah yang hadir ramai.
“Saya tidak tahu lagi apa nak dikatakan kepada mereka yang tidak turun sedangkan kes makin tinggi dan jumlah kematian juga tinggi.
“Ini masanya kita perlu bekerjasama untuk kembali kepada kehidupan normal,” katanya. – 5 Jun, 2021.
Komen