Pemuda PKR usul guna lambang PKR untuk PRU15


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir mencadangkan semua calon PH bertanding dengan menggunakan lambang PKR dalam PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

KETUA Pemuda PKR Akmal Nasir mencadangkan semua calon Pakatan Harapan (PH) bertanding dengan menggunakan lambang PKR dalam pilihan raya akan datang.

Bendera PKR harus jadi lambang PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk menarik semula keyakinan rakyat, katanya dalam ucapan dasar membuka Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini.

“Bagi menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat, AMK Malaysia ingin mengusulkan agar bendera Keadilan menjadi logo mewakili PH mendepani PRU akan datang,” katanya.

Dalam ucapannya Akmal turut menekankan pendirian PKR dan PH yang tetap menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kepada DAP dan Amanah yang juga memberikan sokongan penuh untuk mengangkat pengerusi PH sebagai calon perdana menteri.

“Cakap-cakap yang ingin cadangkan individu lain lebih daripada sekadar nak memecahbelahkan koalisi ini,” katanya.

Pada 9 April lepas, PH menegaskan semula pendirian itu dalam Ketetapan Port Dickson yang diumumkan selepas pemukiman pimpinan parti.

PH menggunakan lambang PKR dalam PRU14 kerana pendaftaran parti itu belum diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional pada masa itu.

PH hanya diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 16 Mei 2018, seminggu selepas kerajaan BN tumbang.

Logo PH kemudian dipakai buat pertama kali dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong pada Ogos 2018.

Calon anak muda

Dalam pada itu, Akmal menyuarakan harapan sayap Pemuda PKR yang mahu lebih ramai calon anak muda yang berpotensi diangkat dalam PRU15.

Katanya, hal ini perlu diambil serius jika pimpinan parti  mahu mendapatkan kembali kerusi yang dikhianati dan menawan kerusi belum dimenangi.

“Pemilihan calon perlulah lebih ketat, individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.

Dalam ucapannya, Akmal juga mengecam kegagalan kerajaan sehingga menimbulkan krisis kesihatan, ekonomi, demokrasi, pendidikan dan pelbagai krisis lain.

Kerajaan gagal menangani wabak Covid-19 sehingga mencetuskan kemarahan rakyat, katanya.

Kerajaan sebaliknya begitu terdesak mahu memberikan gambaran baik, dengan menguar-uarkan kononnya pakej rangsangan ekonomi yang terbaru iaitu Pemerkasa+ kononnya bernilai RM40 bilion, tetapi hakikatnya hanya RM5 bilion dibelanjakan.

Beliau juga mencadangkan kerajaan membenarkan moratorium tanpa caj faedah kepada peniaga kecil sekurang-kurangnya untuk tempoh lima bulan, bagi mengurangkan kesan ekonomi yang mereka hadapi.

“AMK turut mencadangkan kembalikan subsidi upah, perkenalkan kemudahan pinjaman modal serta bantuan 30%-50% dari jumlah sewaan tapak perniagaan,” katanya. – 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen